Perak Hari Ini

Mangsa Samun Nekad Rempuh Penjenayah

PARIT BUNTAR : Pihak polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun di sini, pagi tadi apabila mangsa nekad mengejar dan melanggar motorsikal yang dinaiki suspek.

Mangsa, Mohamed Mazis Mohamed Mokhtar, 25 berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, beliau dan isteri bersama tiga lagi rakan yang lain hendak keluar dari rumah untuk bersarapan.

Beliau dan isteri yang berasal dari Kuala Lumpur singgah bermalam di rumah salah seorang rakan mereka di Taman Murni kerana ingin bercuti di Pulau Pinang.

“Semasa kejadian, saya sudah berada di dalam kereta manakala isteri pula sedang membuang sampah di luar rumah sebelum diacukan parang di leher oleh seorang suspek bermotorsikal.

“Tindakan suspek yang muncul tanpa disedari mengejutkan kami dan suspek bersama tiga lagi rakannya mengarahkan kami menyerahkan segala barangan berharga yang ada,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Simpang Lima, di sini.

Mohamed Mazis yang merupakan seorang anggota polis berkata, beliau dan rakan-rakan enggan menurut arahan suspek sebelum berlaku satu pergelutan.

Akibat dari pergelutan itu, salah seorang rakan beliau yang berusia 28 tahun yang merupakan pemilik rumah cedera di kepala akibat ditetak dengan parang oleh dua suspek.

“Suspek sempat merampas seutas gelang, dua cincin emas, dua beg tangan dan dua jam tangan sebelum melarikan diri dengan menaiki empat motorsikal bersama tiga lagi rakan suspek yang menunggu di atas motorsikal.

“Saya kemudian terus mengejar mereka dengan menaiki kereta sebelum merempuh tiga daripada empat motorsikal di dua lokasi berbeza iaitu persimpangan masuk Taman Murni dan di Kampung Kedah,”jelas beliau.

Hasil rempuhan itu, pihak polis dengan bantuan orang awam berjaya menahan empat suspek manakala tiga lagi sempat melarikan diri dengan menaiki motorsikal.

Turut difahamkan, mangsa yang cedera ditetak dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");