Panasnya Hari Ini

MCA Perlu Tegas Hadapi DAP

KUALA LUMPUR:Bekas presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek menegaskan bahawa parti itu perlu berani dan tegas ketika berdepan DAP.

Memetik sumber laporan, Sin Chew Daily beliau bersetuju dengan gesaan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun pada awal bulan ini bahawa MCA perlu berani menentang DAP dan tindakan berdebat dengan setiausaha agungnya, Lim Guan Eng dahulu menunjukkan keberaniannya ketika memimpin parti itu.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13, kaum Cina perlu sedar sama ada DAP mampu mengotakan janji mereka.

“Berdasarkan pengiraan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kekuatan DAP adalah 8 kali ganda berbanding MCA, tetapi adakah kedudukan orang Cina bertambah baik, adakah Umno lebih menitikberatkan masalah kaum Cina, sama ada kuasa politik Cina diperkukuhkan?

“Jika tidak, kita perlu mengkaji semula undi yang diberikan kepada DAP, adakah ia ibarat undi rosak?” katanya ketika menghadiri sebuah majlis di ibu negara, semalam.

Katanya, DAP menggunakan orang Cina untuk menguasai kaum itu sendiri dan gesaan itu bersambut.

Berikutan itu bekas menteri kesihatan itu menasihatkan kaum Cina berfikir lebih teliti ketika mengundi dan tidak menyahut seruan pihak lain sewenang-wenangnya kerana tindakan itu terlalu emosi.

Sementara itu, Dr Chua berkata pemimpin Umno tidak boleh menyalahkan prestasi buruk parti komponen Barisan Nasional (BN) semata-mata, sebaliknya parti itu perlu mengkaji diri sendiri untuk mencari punca BN kehilangan undi Cina.

Katanya, tindakan pemimpin Umno menyalahkan MCA hanya menunjukkan mereka tidak bijak.

Beliau turut mempertahankan keputusan pucuk pimpinan MCA membantah usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan berkata tidak bermakna parti itu akan menyokong pindaan berkenaan jika ia usul kerajaan.

Mengulas berhubung kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan yang parti komponen BN perlu menyokong RUU 355 sebaik saja kerajaan mengambil alih RUU itu, katanya kesimpulan itu terlalu mudah.

Ia berikutan kerana tiada sebarang rundingan atau persetujuan di kalangan parti komponen BN, yang menyukarkan mereka menyokong atau menentang RUU itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");