KLUANG: Seorang remaja sengaja membuat laporan polis palsu menyatakan dirinya diragut kerana mahu membuat MyKad baharu secara percuma di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 10.30 pagi ketika pengadu yang berusia 19 tahun sedang berjalan kaki bersama bakal ibu mertuanya di Jalan Leban, Yap Tau Sah, dekat sini.
Menurutnya, ketika kejadian datang sebuah motosikal dari arah belakang dan meragut beg tangan pengadu, namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Berikutan kejadian itu, pengadu telah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Pengadu mendakwa suspek memakai helmet berpenutup hadapan dan menunggang motosikal Yamaha 125 berwarna biru, namun tak pasti nombor pendaftarannya.
“Berdasarkan laporan tersebut, polis bersama pengadu ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan. Setelah tiba di lokasi mendapati pengadu seakan ragu-ragu, selepas disoal siasat dia akhirnya mengaku telah buat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Mohamad berkata, remaja terbabit ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 382/182 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lebih kurang enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
“Remaja itu kini direman selama empat hari bermula semalam (kelmarin) sehingga 27 Disember ini.
“Saya juga juga ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu semata-mata ingin menutup kesalahan sendiri,” katanya.
-Sinar Harian