LONDON: Bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola menegaskan tidak perlu untuk berdebat dalam membuat keputusan mengenai siapa yang terbaik antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Ronaldo mengatasi Messi ketika memenangi anugerah Ballon d’Or 2016 selepas tahun yang cemerlang buat pemain itu yang menyaksikan dia meraih gelaran Liga Juara-Juara dan Euro 2016, tetapi Guardiola mendakwa kapten Portugal itu masih jauh ketinggalan bagi menyamai Messi.
Jurulatih Barcelona, Luis Enrique baru-baru ini menyifatkan adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika mahu membandingkan Messi dengan pemain lain.
Pendapat itu turut dipersetujui Guardiola yang menegaskan Messi adalah yang terbaik.
“Saya setuju dengan Luis. Messi adalah yang terbaik, dia memang yang terbaik,” kata pengurus Manchester City itu pada sidang media.
“Dia tahu bagaimana untuk bermain dan membuatkan pemain lain bermain. Dia sentiasa ada di sana.
“Dengan menghormati semua pemain terutama untuk Cristiano Ronaldo – tahniah kepadanya untuk anugerah itu – Saya rasa Messi berada pada satu tahap yang lain”. – Agensi/berita harian