Membawang Hari Ini

Mia Tiara cari pelakon berhijab

Nama Ahmad Idham Ahmad Nazri bukanlah asing dalam industri perfileman tanah air. Sentuhannya menerusi beberapa filem seperti Remp-it dan Jangan Pandang Belakang berjaya meletakkannya menjadi sebutan peminat.

Lebih daripada itu, dia juga berjaya menaikkan nama beberapa pelakon seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin yang sebelumnya dipandang sepi peminat sehingga menjadi bintang popular.

Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Idham akan kembali berkarya dalam filem berkonsep Muslimah berjudul Mia Tiara.

Dia bagaimanapun tidak terbabit dalam pengarahan sebaliknya menjadi penasihat buat filem terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini.

“Projek ini adalah eks­perimen saya dan Norazah Sahud dari Tenview. Saya sebenarnya melihat Norazah dan Tenview mempunyai potensi besar dalam industri perfileman kita.

“Saya sudah lama me­ngenali Norazah dan tahu kemampuannya menerusi drama dan pelbagai program yang diarahkan.

“Sudah tiba masanya untuk dia mengarahkan filem pula dan saya akan menyokong filem ini dari awal pembikinan hinggalah ditayangkan di pawagam.

“Tenview juga kini menyertai Ahmad Idham Film Academy (AIFA) dan menerusi perjanjian kerjasama yang dipersetujui, beberapa pelajar AIFA juga akan terbabit dalam filem ini,” katanya.

Menurutnya, rasional genre itu dipilih kerana mengambil inspirasi penganjuran acara Festival Fesyen Islam yang sering menerima sambutan positif daripada masyarakat.

“Kisah begini dilihat berupaya menjadi tarikan penonton kerana ia kali pertama difilemkan. Lagipun kita lihat banyak pereka tempatan kini berjaya mencipta nama di arena antarabangsa.

“Mungkin penerbit lain tak berani mengambil risiko ini tapi jika dibuat dengan betul, filem ini mampu dibawa ke pasaran antarabangsa khususnya di negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Saya sebenarnya sudah lama mencuba menghasilkan filem yang menepati konsep slogan membawa filem tempatan ke persada dunia tapi tak tahulah ke dunia mana perginya.

“Tapi dengan konsep muslimah ini, siapa tahu akan berjaya menembusi pasaran luar pula,” katanya.

Mia Tiara dianggarkan menelan kos sekitar RM1 juta sehingga RM1.2 juta dijangka akan mula menjalani penggambaran pada April 2017.

Barisan pelakon yang dijangkakan ialah Fathia Latiff, Eja dan Faizal Hussein sebagai pelakon utama dan dibantu Nadiya Shahab, Amar Asyraff, Izzue Islam, Julia Ziegler dan Hafreez Adam.

Sementara itu Norazah berkata, syarikatnya kini dalam proses mencari pelakon bertudung serta mengadakan uji bakat mencari muka baru yang berhijab bagi membintangi filem ini.

“Diikutkan kami memang sudah sebulat suara memilih Fathia sebagai calon pelakon wanita utama Mia Tiara.

“Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu saya masih perlu menunggu kata putus daripadanya. Masih ada perkara perlu dibincangkan dan selepas Fathia pulang dari mengerjakan umrah minggu depan, barulah keputusan ini dimuktamadkan,” katanya.

Tambahnya, mereka berhasrat mengambil pelakon bertudung di dunia nyata bagi menampakkan mood sebenar dalam lakonan.

“Sekiranya bertudung kerana watak, ia hanya lakonan semata-mata. Tapi sebaliknya jika benar-benar berhijab ada suntikan agama.

“Lagipun kami nak mengetengahkan kisah wanita muslimah dan sekiranya timbul bab syariat senang nak berbincang,” katanya.

Norazah berkata, Tenview sudah aktif sejak 20 tahun lalu dan aktif menghasilkan drama TV, dokumentari dan majalah serta pernah memenangi Anugerah Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin dan Pesta Filem Tokyo 2009 untuk drama Bicara Aur Dengan Tebing.

Mia Tiara hasil karya Rosmadewi Zain mengisahkan seorang gadis kampung terpaksa membawa ibunya melarikan diri ke Kuala Lumpur demi me­nyelamatkannya daripada bapanya seorang penagih tegar.

Mereka yang ingin mencuba nasib membintangi filem ini boleh menghantar profil menerusi emel [email protected].

Penyertaan akan ditutup pada 15 Januari 2017.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");