SEPANG: Empat sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berlepas ke Syria pagi ini bagi membantu kira-kira 80,000 rakyat Syria melalui Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria.
Pengarah Pusat Strategik dan Korporat MAPIM, Sani Araby Al Kahery, yang mengetuai misi berkenaan, berkata misi itu membawa bantuan berjumlah RM500,000 termasuk bagi membina 1,000 khemah serta menyediakan sebuah ambulans, 75 tan makanan, ubat, selimut dan baju sejuk untuk kanak-kanak.
“Misi ini akan dilaksanakan selama 10 hari. Kita akan pergi ke pinggir Aleppo dan sempadan Syria bagi membantu 80,000 pelarian yang keluar dari Aleppo dalam keadaan sehelai sepinggan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas ke Syria, sebentar tadi. Sani berkata, dana bagi bantuan itu dikumpul dalam masa lima hari hasil sumbangan orang ramai melalui kempen di laman sosial.
“Kita sasarkan untuk mengutip RM2 juta untuk disalurkan melalui misi bantuan kedua MAPIM yang akan berangkat ke Syria pada 15 Januari ini,” katanya.
Ini adalah misi ketujuh MAPIM ke Syria sejak tahun 2012 bagi membantu mangsa konflik di negara itu, yang sudah mengorbankan ribuan nyawa.
Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank di nombor akaun 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana MAPIM.
-Berita Harian