Berita Hari Ini

MRA hantar bantuan RM50,000 ke Rohingya

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) akan menghantar bantuan kewangan berjumlah RM50,000 ke Rohingya dalam masa terdekat bagi membantu pembelian selimut dan makanan.

Presiden MRA, Datuk Dr Abd Razak Kechik, berkata bantuan kewangan itu akan dimasukkan ke dalam akaun aktivis yang dipercayai oleh MRA untuk disalurkan kepada penduduk Rohingya yang berada di kawasan Maung Daw di utara Arakan.

“Kewangan adalah masalah utama dihadapi oleh Rohingya dan MRA merasakan bantuan dalam bentuk wang adalah langkah terbaik.

“Wang ini akan dimasukkan ke dalam akaun aktivis yang dipercayai terdiri daripada orang Islam Myanmar dan Sami yang terbabit dalam aktiviti kemanusiaan. Mereka ini bebas bergerak ke kawasan yang bergolak.

“Mereka memang kami percaya kerana sering membantu MRA dalam aktiviti bantuan kemanusiaan di Rohingya. Kali terakhir kami bekerjasama pada program Korban yang lalu membabitkan penyembelihan 40 ekor lembu dan mereka laksanakan dengan baik,” katanya pada sidang media Pelancaran Tabung Bantuan Rohingya, di sini, hari ini.

Dr Abd Razak berkata, daripada bantuan itu, MRA memperuntukkan RM300 bagi setiap keluarga membabitkan RM100 untuk pembelian selimut manakala RM200 bagi membeli makanan.

Pada pelancaran tabung itu, MRA mensasarkan sumbangan kira-kira RM500,000 daripada orang ramai untuk dihantar secara berperingkat ke Rohingya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke “Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya” di atas nama Malaysian Relief Agency, ke akaun 564098206365 (Maybank).

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");