Sukan Hari Ini

Murray raih gelaran ketiga

London: Bintang tenis nombor satu dunia dari Britain Andy Murray memenangi anugerah Personaliti Sukan Tahunan BBC buat kali ketiga semalam selepas menjulang gelaran Wimbledon kedua dan Jelajah Dunia ATP buat kali pertama dalam musim 2016 yang cemerlang.

Murray, yang turut mempertahankan gelaran Olimpik dalam kategori perseorangan lelaki di Rio de Janeiro, menjulang trofi BBC sekali lagi selepas menerimanya pada 2013, apabila menjulang gelaran Wimbledon buat pertama kali dan juga pada 2015.

“Ia tahun yang hebat buat sukan Britain dan saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya,” kata Murray yang membawa Britain ke suku akhir Piala Davis selepas kejayaan pertama dalam tempoh 79 tahun pada 2015, bercakap menerusi siaran video dari kem latihannya di Miami.

Pemain Scotland berusia 29 tahun yang menyertai peninju Henry Cooper dan pemandu Damon Hill dan Nigel Mansell sebagai pemenang dua gelaran anugerah itu tahun lalu, kini mencatat rekod tersendiri apabila dia turut mara ke final Terbuka Australia dan Perancis.

Biarpun Murray tewas kepada Novak Djokovic di Roland Garros, dia muncul pemain lelaki pertama Britain mara ke final Terbuka Perancis selepas Bunny Austin pada 1937.

Dia juga tewas kepada pemain Serbia itu pada Terbuka Australia tetapi menamatkan kempen tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia.

Atlet triatlon Alistair Brownlee menduduki tempat kedua manakala atlet show jumper Nick Skelton di tempat ketiga dalam acara tahunan BBC.

Brownlee, 28, muncul atlet lelaki pertama mempertahankan gelaran triatlon Olimpik apabila memenangi pingat emas di Rio, mendahului adiknya Jonny, yang memenangi pingat perak.

Skelton, 58, memenangi pingat emas show jumping individu di Rio 2016, menjadi pemenang emas kedua tertua Britain di pentas Olimpik 16 tahun selepas patah tulang tengkuknya.

Dalam ucapan penghargaannya, Murray yang menyebabkan hadirin tertawa memberitahu isterinya Kim yang melahirkan anak sulung mereka Sophia pada Februari lalu mengundi Skelton.

“Saya berterima kasih kepada isteri dan anak perempuan saya, dia tidak tahu apa maknanya semua ini tapi mungkin selepas beberapa tahun lagi.

“Sebenarnya, saya perlu membuat perhitungan dengan isteri saya kerana sejam lalu dia memberitahu dia mengundi Nick Skelton. Pilihan yang tidak bagus daripadanya apatah lagi menjelang Krismas,” jelasnya. – Reuters/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");