Laporan Eksklusif

myIMMs : Batal Kontrak Jika Tidak Tepati Piawaian, Langkah Baik

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membatalkan kontrak vendor Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sekiranya perkhidmatan yang diberikan gagal menepati piawaian yang ditetapkan wajar dipuji.

Ini kerana, sekiranya sistem tersebut tidak menepati piawaian, tidak mustahil negara ini akan menjadi antara lokasi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana sistem yang mudah dibolosi oleh mereka.

Tambahan pula, menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh vendor tersebut.

“Kami akan lihat perjanjian yang telah ditandatangani dan kami ikut jangka masa yang telah ditentukan dalam perjanjian.

“Saya tidak fikir kami boleh lanjutkan lagi tempoh untuk mereka memperbaiki (myIMMs) kerana yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat dan pelancong yang masuk ke negara kita,”katanya.

Bagaimanapun, pengumuman beliau bahawa KDN akan melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) untuk menapis setiap warga asing sekaligus mencegah kemasukan pengganas ke negara ini wajar diberi perhatian.

Ini kerana, APSS mempunyai rangkaian maklumat secara terus dengan pihak polis antarabangsa (INTERPOL) dan agensi keselamatan serta imigresen daripada negara yang menggunakan sistem sama.

Ahmad Zahid berkata, dianggarkan sekitar 30 juta datang ke negara ini setiap tahun daripada pelbagai kumpulan dan sistem tersebut dapat memberi maklumat secara lengkap.

Maklumat lengkap itu termasuklah penggunaan pasport palsu atau dokumen perjalanan tidak sah dan sudah pastinya, sistem ini lebih pintar dari hanya sekatan melalui visa.

Apabila sistem APSS ini dilaksanakan, pastinya warga asing yang mempunyai rekod salah laku, KDN akan menerima maklumat segera daripada negara sumber dan individu berkenaan boleh ditahan sebelum bertolak atau sebaik tiba di negara ini.

Menariknya, sistem tersebut telah digunapakai oleh tiga perempat negara dunia.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kementeriannya kini masih menunggu surat penerimaan sistem (LOA) itu sebelum dilaksanakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");