Membawang Hari Ini

Nadi Sweet Charity

Jika disebut Sweet Charity, pasti ramai bersetuju mereka adalah band rock pertama dalam industri muzik Melayu di Malaysia dan Singapura.

Ketika industri muzik tempatan ‘selesa’ dengan lagu-lagu pop balada, funk dan disco, Sweet Charity yang ketika itu dianggotai Ramli Sarip (kini Datuk) sebagai penyanyi, Rosli Mohalim (gitar), Allahyarham Syed Hassan Al Attas (bass), Ahmad Jaafar (keyboard) dan Rahman Sarbani (dram) menarik perhatian dengan muzik yang lebih berat dan pantas berinspirasikan daripada band Britain seperti Deep Purple, Black Sabbath dan Godbless dari Indonesia.

Bagi kebanyakan peminat muzik tempatan, nama Sweet Charity yang ditubuhkan di Singapura pada awal 1970-an lebih sinonim dengan Ramli Sarip. Namun, peranan pemain gitarnya, Rosli Mohalim jangan dilupakan.

Walaupun generasi rock 80-an lebih mengenali nama seperti Man Kidal, Hillary Ang, Joe Wings, Kid, Din dan Opie Bloodshed, tetapi Rosli sebenarnya terlebih dulu mendominasi sound muzik rock dalam arena muzik tempatan.

Dia memiliki ‘tone’ tersendiri dan sound yang terhasil daripada petikan gitarnya seperti dalam album Sweet Charity berbeza dengan pemain gitar lain ketika itu.

Rosli, warga Singapura yang kini berusia 62 tahun dan menetap di Cheras, Selangor masih aktif dengan gitarnya. Dengan rambut paras bahu, imej rocknya juga masih kekal.

Dalam persembahan reunion Sweet Charity beberapa tahun lalu, Ramli bergurau mengatakan Rosli adalah pemain gitar paling kacak di Singapura dan turut menggelarnya ‘Puntianak Singapura’ kerana pada satu ketika rambut Rosli pernah mencecah hingga paras pinggang.

Rosli yang selesa membahasakan dirinya sebagai Abang Li ketika ditemui baru-baru ini berkata, lagu Black Night daripada Deep Purple yang didengarnya pada lewat tahun 1970-an mengubah minatnya daripada muzik pop Barat dan pop yeh yeh kepada rock.

Selepas itu, dia yang mula bermain gitar sejak berusia 13 tahun mula menjadikan Deep Purple sebagai pengaruh muzik dan Ritchie Blackmore sebagai inspirasinya dalam bermain gitar.

“Band pertama saya ialah Purple Grass pada 1971 dan kami banyak memainkan lagu-lagu Deep Purple. Waktu itu irama pop yeh yeh dan pengaruh The Beatles masih kuat, tapi kami mula selesa dengan rock. Kami aktif mengadakan persembahan di majlis perkahwinan dan juga ‘tea dance’ yang cukup popular waktu itu,” katanya.

Ketika menuntut di Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura pada 1973, Rosli menganggotai band Sugar & Spice dan mula bermain di kelab malam sekitar Orchard Road.

Bercerita mengenai pembabitannya dengan Sweet Charity, Rosli berkata, segala-galanya bermula pada 1977 apabila Ramli dan Rahman datang bertemunya menawarkan tempat dalam band berkenaan.

“Walaupun belum ada album, tetapi waktu itu Sweet Charity sudah terkenal di Singapura. Saya juga selalu menonton persembahan mereka. Pemain gitar mereka ketika itu ialah A Ali (kemudian bersama Kembara dan menjadi komposer terkenal).

“Saya setuju untuk bersama mereka, tapi terkejut kerana saya menyangka akan menjadi pemain gitar, sebaliknya diberi peranan sebagai pemain bass. Ikutkan hati saya mahu main gitar, tetapi apabila mengenangkan Sweet Charity ketika itu sebuah band yang dikenali dan mantap dalam persembahan, saya teruskan juga walaupun bermain bass,” katanya.

Menurut Rosli, selepas lebih setahun bermain bass dengan Sweet Charity, pengunduran A Ali untuk bersama Kembara membuka ruang kepadanya untuk kembali menjadi pemain gitar.

Pada 1978, Rosli secara rasmi menjadi pemain gitar Sweet Charity manakala posisi bass diisi Syed Hassan yang sebelum itu bersama The Unwanted.

Sweet Charity tampil dengan album sulung berjudul Sweet Charity pada 1979. Selepas itu mereka terus mendominasi arena muzik di Malaysia dan Singapura dengan album seperti Pelarian, Sejuta Wajah, Penunggu, Batu dan album terakhir, Berita Gempa pada 1985.

Sweet Charity dibubarkan setahun kemudian apabila Ramli meninggalkan band itu untuk karier solonya. Dalam tempoh itu, Sweet Charity turut dianggotai Allahyarham Masrom Hamid (keyboard), Wan Ahmad (gitar) dan Sulaiman Kamsani (dram).

“Walaupun pengaruh muzik kami banyak dari Barat, tetapi ada kepelbagaian dalam muzik Sweet Charity. Jika didengar lagu-lagu kami, ada bunyi Melayu, Nusantara termasuk irama padang pasir, bukan rock semata-mata,” katanya.

Apa yang pasti, ia merujuk kepada lagu mereka Jangan Tunggu Lama Lama, Bulat Bulat, Zakiah, Jangan Tak Jadi, Bersenda dan banyak lagi yang memuatkan unsur kemelayuan.

Terus aktif

Bersama gitar kesayangannya iaitu Fender Stratocaster dan Warmoth, Rosli terus aktif dengan persembahan di Kuala Lumpur dan Singapura.

Dia yang kini memiliki band sendiri iaitu Rosli Mohalim & Friends banyak mengadakan persembahan di hotel, kelab dan majlis tertentu.

“Kami banyak memainkan lagu-lagu Sweet Charity sebagai nostalgia buat peminat,” katanya.

Selain itu, Rosli turut bekerjasama dengan syarikat Edaran Kasih dalam projek Santai Seni Rosli Mohalim membabitkan persembahan, kelas gitar dan pameran seni.

Terbaru, dia bakal tampil dengan persembahan di Arked Mara Kajang, Selangor pada 24 dan 25 Disember ini, jam 9 malam.

Selain itu, Rosli juga baru melancarkan buku biografinya iaitu Perjalanan Muzik Rock Rosli Mohalim yang mula dipasarkan sejak Oktober lalu dengan harga RM65.

Maklumat lanjut mengenai buku tulisan Azlan Mohamed Said yang juga peminatnya itu boleh melayari Facebook Perjalanan Muzik Rock: Rosli Mohalim: Journey In Rock.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");