KUALA LUMPUR: Pelakon Nas T bergelar bapa semalam selepas isterinya, Atita Haris selamat melahirkan anak perempuan sulung hasil perkongsian hidup mereka sejak Januari lalu.
Nas T atau nama penuhnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, berkongsi khabar gembira itu dalam akaun Instagram, hari ini.
Lebih istimewa, bayi diberi nama Nas Taliyah Nas Muammar Zard seberat 3.2 kilogram itu lahir pada sambutan Maulidur Rasul.
“Anak sulung kami dilahirkan secara normal di sebuah hospital pakar di Johor Bahru. Isteri saya dimasukkan ke bilik pembedahan kira-kira jam 7 pagi. Alhamdulillah pada jam 12.08 tengah hari, anak kami melihat dunia.
“Isteri saya tak ambil masa lama untuk melahirkannya. Dalam lapan minit proses meneran, anak kami selamat dilahirkan. Sangat mudah dan dipermudahkan. Keadaan isteri saya juga sihat walafiat. Saya teruja dengan pengalaman ini,” katanya.
Nas T memberitahu, anaknya itu berkongsi hari lahir dengan bapanya. Mengenai maksud nama Nas Taliyah, Nas T berkata ia merujuk kepada hamba yang membaca al-Quran dan yang mengikuti.
“Kami sepakat untuk meletakkan nama itu. Semoga anak kami akan menjadi anak yang baik,” katanya.
Pada perkahwinan lalu, Atita mempunyai anak perempuan bernama Nur Sofia.
-BH ONline