Sukan Hari Ini

Netizen: Nama Faiz sebaris dengan Messi, Neymar

KEMERIAHAN melanda media sosial berikutan jaringan menarik penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Gol dikatakan ‘melanggar hukum fizik’ jaringan penyerang Liga Malaysia Pulau Pinang itu menjadi perbualan hangat warga netizen di media sosial malam ini, berikutan pengumuman Fifa itu.

Rata-rata netizen bangga terhadap pencapaian yang dianggap bersejarah dan berharap anak tempatan itu menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi anugerah berprestij itu.

Seorang pengguna Facebook, Khairul Anwar Abdullah berkata, “Tahniah Faiz Subri yang bakal ke Fifa Football Award di Zurich 9 Januari ini selepas sah dalam senarai tiga gol terbaik bagi calon Anugerah Puskas 2016”.

“Faiz Subri. Nama dia sebaris dengan Messi dengan Neymar untuk anugerah ni memang cukup bangga lah. World class punya award!, demikian tweet @haziqbadrudin.

Sementara itu, Mohd Tarmimi Tassim dalam entri akaun Facebooknya berkata “Ayuh faiz tunjukkan bahawa walaupun tidak pernah menyarung jersi kebangsaan mampu melakar sejarah buat tanah air kita tercinta”.

Seorang pengguna Twitter ?@SivanJohn berkata: ” Congratulations for being nominated. Let me just say congratulations because he has won it. Mark this tweet! #FaizSubri #PuskasAward”. (Tahniah kerana dicalonkan. Ingin saya katakan, tahniah kerana dia memenanginya).

Faiz Mat Lazim berkata “Tudia, Congrats ada wakil dari Malaysia! Congrats Faiz Subri”.

Rata-rata netizen juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengundi Mohd Faiz bagi membolehkan beliau meraih anugerah tersebut.

Menurut Mr Right, “Sejarah akan tercipta! Anak M’sia akan hadiri majlis anugerah tertinggi FIFA. @Khairykj @TeamMsia jom lancarkan kempen bg Faiz Subri juara”.

“Alhamdulilah, Tahniah Faiz Subri! Semoga beroleh kemenangan, Buat semua peminat bola, teruskan mengundi wakil Malaysia,” demikian luahan Lee Ya Rie dalam akaun Facebooknya.’

Seorang lagi pengguna aplikasi Twitter, @Adam pula berkata “congrats faiz #malaysia #soccer #goal #fifapuskas”

Nama Malaysia tercatat dalam lipatan sejarah bola sepak dunia setelah gol ‘melanggar hukum fizik’ oleh Mohd Faiz itu tersenarai antara tiga jaringan terbaik untuk Anugerah Puskas FIFA.

Senarai akhir itu diumumkan FIFA menerusi laman Twitter pada 8 malam ini. Mohd Faiz melakukan jaringan gol yang disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ itu pada 16 Februari 2016 semasa perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang.

Gol menarik itu bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata peminat bola sepak seluruh dunia, ia dibuktikan apabila video gol pencalonan tersebut di laman YouTube oleh FifaTV mendahului sembilan calon lain dalam senarai awal pencalonan.

Setakat 9.30 malam ini, 1,384,112 penonton menyaksikan video gol ajaib Mohd Faiz di YouTube, manakala 904,436 penonton bagi video Johnath Marlone dari Brazil dan 618,593 penonton bagi sepakan gol Daniuska Rodriguez dari Venezuela. Namun, peminat bola sepak seluruh dunia perlu mengundi sekali lagi untuk menentukan pemenang bagi anugerah ini yang akan diumumkan 9 Januari 2017 di Zurich, Switzerland. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");