BOURNEMOUTH berazam meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea pada musim ini apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, malam ini.
Pengendali The Cherries, Eddie Howe berkata, dia yakin pasukannya mampu menewaskan tuan rumah kerana semangat pemainnya berada pada tahap amat tinggi.
“Kita bersemangat untuk memadam rekod tanpa kalah Chelsea dan saya percaya kami boleh jadi pasukan yang meleburkan rekod itu.
“Pemain juga kini berada dalam prestasi terbaik dan kita mahu memalukan Chelsea di laman sendiri,” katanya.
Chelsea yang kini menerajui takhta liga telah memenangi 11 perlawanan liga terakhir mereka.
Mengulas lanjut, Howe berkata, mereka tidak gentar dengan rekod dipegang skuad bimbingan Antonio Conte sebaliknya percaya dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Kami boleh menewaskan sesiapa pun, dan ia dibuktikan tahun lalu apabila kami tundukkan Chelsea.
“Mungkin itu rekod lama, tapi ia sentiasa diingati dan esok pasti akan diulangi,” katanya.-sinar harian