Membawang Hari Ini

Pamer semangat anak yatim

Bakat cilik kembali lagi! Sebelum ini Fazleena Hishamuddin pernah mementaskan teater Kota Kelip-Kelip di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), pertengahan Jun 2015.

Teater anjuran Teach For The Needs (TFTN) yang membariskan 10 pelakon kanak-kanak daripada empat rumah anak yatim TFTN ini mendapat sambutan menggalakkan.

Justeru, Akademi Seni TFTN membawa pula teater Kota Kelip-Kelip bagi mengadakan persembahan di PenangPac, Tanjung Tokong, Pulau Pinang esok dan Ahad ini bermula jam 8 malam.

Fazleena selaku pengarah sudah memberikan pembelajaran terbaik apabila melatih anak-anak ini menerusi siri bengkel lakonan anjurannya.

“Saya yakin penonton akan dapat mengutip sesuatu apabila menonton cerita ini. Melatih anak yatim berbeza dengan kanak-kanak yang serba cukup hidupnya.

“Kekurangan harta benda, kehilangan kasih sayang sejak kecil memberi impak besar dalam jiwa dan pemikiran mereka. Namun kegigihan dan semangat mereka sangat luar biasa.

“Saya berasa kagum dan sebak setiap kali melihat kesungguhan mereka berlatih tanpa mengira siang malam, tidak mengeluh kepenatan dan sentiasa positif walaupun tak pernah beraksi di pentas teater sebelum ini,” katanya.

Menurutnya kecekalan kanak-kanak berkenaan secara tidak langsung menjentik semangatnya agar terus positif dan berjuang habis-habisan dalam hidup.

“Saya berharap ramai sudi datang menonton teater ini, bukan kerana pelakonnya anak yatim dan tidak berkemampuan, tetapi disebabkan mahu melihat semangat luar biasa mereka.

“Cabaran paling besar yang kami hadapi sekarang ialah penjualan tiket yang kurang menggalakkan oleh penonton di Pulau Pinang.

“Semoga pementasan ini dapat membuka mata orang ramai bahawa seni teater antara medium terbaik mendidik anak untuk menjadi insan lebih baik,” katanya yang pernah menjayakan banyak teater termasuk Hegemoni, Merocok-Rocok, Juta-Juta, Neo-Romantik, Gadis dan Dua Menara dan Projek Kahwin.

Kota Kelip-Kelip mengisahkan mengenai dua sahabat, Saufy dan Azam yang pernah tinggal di sebuah rumah anak yatim yang dikenali sebagai Rumah Seri Muda.

Mereka bertemu dan mengimbau kembali kehidupan serta kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berada di rumah itu.

Rumah Seri Muda adalah sebuah penginapan ajaib di mana anak-anak yang tinggal di dalamnya tidak akan menjadi dewasa dan akan kekal menjadi kanak-kanak.

Tiket untuk menonton berharga RM20, RM50 dan RM80 dan terhad hanya kepada 116 tempat duduk.

Keterangan lanjut boleh didapati menerusi Facebook Teater Kota Kelip-Kelip 2016.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");