KUALA LUMPUR: PAS Selangor hari ini membidas sikap pemimpin Parti Amanah Negara yang didakwa sengaja membangkitkan isu dan mencari alasan bagi menutup kegagalannya meraih sokongan rakyat di negeri itu.
Dakwaan parti serpihan itu kononnya pemimpin PAS termasuk ketua kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO membantah serta menghalang mereka mengadakan kuliah di masjid atau menggunakan dewan, jelas tidak berasas.
Ia berikutan bukan semua jawatan itu dipegang pemimpin PAS, malah portfolio Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru dipegang wakil DAP.
Sambil menyifatkan Parti Amanah Negara mulai cemas dan menyalahkan orang lain atas kegagalan meraih sokongan rakyat, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata bukan semua jawatan pengerusi surau, nazir masjid, ahli majlis atau ketua kampung dipegang wakil PAS, sebaliknya jawatan itu turut diwakili PKR, DAP, UMNO dan parti serpihan PAS itu sendiri.
“Exco PBT (pihak berkuasa tempatan) daripada DAP bukannya PAS. Mustahil PAS boleh halang semua program atau pemimpin Parti Amanah Negara untuk mengadakan majlis seperti didakwa, malah peraturan menetapkan larangan untuk mengadakan program parti di masjid dan surau.
“PAS sendiri pun tidak boleh mengadakan program parti di masjid dan surau. Parti Amanah Negara sengaja mencari alasan untuk menutup realiti kurang sokongan rakyat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Selangor, Jamzuri Ardani, ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2016 parti itu di Shah Alam mendakwa, pelbagai halangan dan birokrasi daripada kerajaan negeri dihadapi hingga pihaknya sukar mengadakan kuliah di surau serta menggunakan dewan yang berada di bawah PBT.
Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, tidak mengetahui pihak mana yang cuba menghalang pemimpin Parti Amanah Negara, selain tidak menolak kemungkinan dakwaan itu tidak berlaku.
“Jika benar, mereka patut nyatakan kes itu secara spesifik. Mereka ada banyak ruang untuk menjalankan program parti sama ada melalui Ahli Majlis, ADUN dan Ahli Parlimen terutama di kerusi yang mereka ‘bawa lari’,” katanya.
-BH Online