Isu Panas

Pas ‘terselamat’ serangan Umno

ALOR SETAR – Perhimpunan Agung Umno kali ini mencipta sejarah baharu apabila julung kalinya Pas ‘terselamat’ daripada serangan Umno, sebaliknya buat pertama kali Pas menerima pujian daripada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, musuh politik Najib dan Umno kini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang, kecuali Pas.

“Tiada intipati ucapan Najib yang boleh dibawa pulang perwakilan sebagai pedoman dalam menghadapi kehidupan yang mencabar akibat beban hidup tinggi yang berpunca daripada penyelewengan, pembaziran dan salah guna kuasa. Apa yang dihidangkan hanya maki hamun terhadap Mahathir, DAP dan gabungan Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, pada ucapan dasar Najib ketika perhimpunan itu jelas menunjukkan beliau seolah bimbang dengan pengaruh besar yang dibawa Mahathir, malah mengakui bekas perdana menteri itu antara empat cabaran Umno.

“Najib mengejutkan seluruh rakyat Malaysia kerana warga emas berusia 92 tahun itu amat digeruninya kerana boleh menyebabkan Umno hilang kuasa pada PRU14. Serangan demi serangan terhadap Mahathir dilakukan dan mengisi sebahagian besar ucapan itu,” katanya.

Mahfuz berkata, serangan itu menjadikan Mahathir umpama sebuah institusi politik yang menggugat kedudukan Najib dan Umno/BN.

“Nampaknya, Mahathir ibarat ‘otai masih berbisa’,” katanya, berseloroh.

Menurutnya, pengakuan Najib itu dengan sendirinya memperakui Umno sedang mengalami kereputan sebaliknya Bersatu yang diasaskan Mahathir berkembang mekar bersama komponen pembangkang lain.

“Secara tidak langsung, Umno mengakui gabungan itu mampu mencabar Umno/BN untuk mengambil alih kuasa pada PRU14 akan datang. Jika kita duduk dalam rumah kaca, jangan baling batu ke arah rumah orang lain,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");