Berita Hari Ini

Pasukan Pakar Ditubuh, Siasat Insiden Runtuhan – Fadillah

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan khas yang dianggotai pakar pembinaan daripada pelbagai agensi akan ditubuhkan untuk menyiasat punca runtuhan struktur bangunan dan jejambat berhampiran Apartmen Abdullah Hukum di Jalan Bangsar di sini petang Rabu.

Menteri Kerja Raya. Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pasukan tersebut dianggotai pakar daripada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata pasukan itu akan menyiasat punca insiden sama ada daripada unsur reka bentuk, kualiti kerja, kekurangan pemantauan atau kecuaian keselamatan.

“Kita akan kaji semua kemungkinan punca tersebut. Kalau terbukti berlaku kecuaian, maka di bawah Akta CIDB, pemaju pembinaan boleh dibawa ke mahkamah dan didenda sehingga RM500,000 atau penjara selama dua tahun.

“Namun biarlah kumpulan pakar membuat siasatan. Mereka perlu bergabung untuk membuat siasatan secara menyuruh. Laporan siasatan dijangka akan siap dalam masa sebulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar bertajuk ‘Pembinaan Mapan Untuk Masa Depan’ anjuran Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (Cream).

Insiden runtuhan tersebut meragut nyawa seorang pekerja kontrak warga Vietnam manakala lima yang lain dilapor cedera.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu melibatkan jejambat yang dalam pembinaan sepanjang 70 meter yang menghubungkan KL Eco City dengan pusat beli-belah Mid Valley.

Susulan itu Ketua Pengarah DOSH, Datuk Mohtar Musri telah mengarahkan pihak pemaju projek agar segera menghentikan kerja-kerja pembinaan.

Terdahulu Fadillah turut melancarkan Pusat Kecemerlangan Pembinaan Mapan yang merupakan pusat rujukan dan latihan berteraskan keberhasilan pembinaan mampan secara komprehensif.

Pusat itu ditubuhkan bagi memastikan industri pembinaan melaksanakan pembangunan fizikal dengan memelihara kelestarian dan keharmonian alam sekitar.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");