Jenayah

Pelajar Giat Mara, 2 pembonceng maut

KOTA TINGGI – Seorang pelajar Giat Mara maut selepas Perodua Myvi dipandu terbabas di Kilometer 6.0 Jalan Lok Heng – Mawai awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.55 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Alif Hashim, 21 beralamat di Felda Simpang Waha maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari Kota Tinggi menghala ke Felda Simpang Waha telah terbabas ke kanan jalan lalu melanggar tebing sebelum terbalik.

Menurutnya, akibat dari kemalangan itu pemandu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan cedera parah di badan.

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala yang lurus dan terdapat garisan putus-putus ditengah jalan sebagai pembahagi jalan.

“Permukaan jalan kering, kawasan kemalangan gelap dan tiada lampu jalan manakala kawasan persekitaran merupakan kawasan hutan. Tiada sebarang saksi bebas di tempat kejadian,”katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rahmat berkata dua pembonceng motosikal yang terlibat dua kemalangan berasingan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital semalam.

Mangsa, Nuraysyah Fiera Syamsul, 15 beralamat di Taman Rinting, Masai disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas terlibat kemalangan di Kilometer 0.5 jalan Bandar Penawar – Punggai, petang semalam.

Katanya, kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu membabitkan motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa bersama seorang lelaki dengan sebuah kereta jenis Honda CRV.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal telah tergelincir dan jatuh serta melanggar bahagian ekzos belakang Honda CRV. Kemalangan berlaku dilaluan yang sama dari Desaru menghala ke Penawar.

“Ekoran kejadian itu penunggang motosikal berusia 32 tahun hanya mengalami kecederaan ringan manakala pembonceng pula mengalami kecederaan parah pada kaki badan dan tengkuk.

“Pembonceng dihantar ke HKT untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 malam,” katanya lagi.

Rahmat berkata, seorang pembonceng yang terlibat kemalangan di Jalan Perindustrian Bandar Penawar Khamis lalu juga telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) petang semalam.

Mangsa, Mohd Shahrin Rabu, 23 beralamat di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili membonceng motosikal jenis Honda Wave bersama rakannya sebelum terlanggar lubang besar dan menyebabkan keduanya terjatuh.

Rakannya hanya mengalami cedera ringan manakala mangsa dihantar ke HKT sebelum mendapat rawatan lanjut di HSI akibat kecederaan dialami.

“Kira-kira jam 1.30 petang semalam, pihak HSI mengesahkan pembonceng motosikal telah meninggal dunia kerana pendarahan teruk di kepala dan patah leher akibat kemalangan itu,”katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");