Jenayah

Pemandu bas sempat tekan brek

ALOR GAJAH: Belum reda isu kemalangan bas hingga mengorbankan 14 mangsa di Pagoh, Johor tempoh hari, sebuah bas Panorama Melaka membawa kurang 10 penumpang pula terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain di Jalan Melaka Pindah, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang membabitkan bas henti-henti juga dipanggil bas loncat itu tidak membabitkan kehilangan nyawa, cuma hanya salah seorang pemandu kereta cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Tampin merempuh kereta Perodua Axia.

“Ketika melalui selekoh di Jalan Melaka Pindah, pemandu bas berusia 43 tahun itu telah menekan brek selepas melihat deretan kereta namun bas berkenaan menggelongsor lalu melanggar belakang tiga kereta di hadapannya.

“Bas yang mempunyai lima hingga enam penumpang itu merempuh belakang Axia lalu melanggar Proton Persona yang kemudian melanggar pula Perodua Kancil,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua pemandu serta penumpang tidak mengalami kecederaan kecuali pemandu Axia cedera ringan pada anggota badannya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Panorama Sdn Bhd, Nazril Hizam Yusoff berkata, siasatan dalaman terhadap insiden itu akan dilakukan untuk mengetahui punca kejadian.

“Memang menjadi SOP (Prosedur Operasi Standard) kita untuk melakukan siasatan dalaman temasuk mengambil keterangan pemandu untuk memastikan kejadian berlaku akibat kecuaian pemandu atau kesilapan teknikal namun ia juga bergantung kepada siasatan polis.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");