Jenayah

Pemandu jengkaut ditemui lemas

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu jengkaut (JCB) ditemui lemas dalam sebuah kolam berhampiran tapak pembinaan di Iskandar Puteri di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa berusia 22 tahun dipercayai tergelincir ke dalam kolam terletak berdekatan bulan Educity menghala ke Nusa Idaman.

Menurutnya, kehilangan mangsa sebelum itu disedari kakaknya berusia 29 tahun yang segera membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan adiknya.

“Kelmarin, pada jam kira-kira 11 malam, pengadu (kakak mangsa) telah dimaklumkan oleh kawan adiknya bahawa dia terjumpa kereta Proton Persona milik adiknya berada di kawasan rumah kongsi berdekatan bulatan Educity menghala ke Nusa Idaman.

“Sejurus pengadu sampai di lokasi, enjin kereta adiknya didapati masih hidup dan barangan peribadi termasuk telefon bimbit milik masih berada dalam kereta.

“Pengadu cuba mencari adiknya di sekitar kawasan itu dan menjumpai sebelah kasut di tepi kolam buatan manakala sebelah lagi, berada di dalam kolam tersebut. Pengadu terus datang ke balai polis membuat laporan,” katanya di sini semalam.

Noor Hashim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa ada memelihara anjing liar di kawasan kongsi berhampiran kolam berkenaan.

Katanya, setiap hari mangsa akan ke situ, sembahyang dekat tokong kecil dan beri makan anjingnya.

“Selepas bermain dengan anjing, mangsa akan cuci kaki dan tangan di kolam sebelum balik ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati mangsa tiba di lokasi dan terus mencari anjing untuk memberi makanan sekitar jam 6 petang kelmarin.

“Pada masa itu, mangsa tidak matikan enjin kereta. Saksi, seorang lelaki Indonesia yang hendak ke kedai makan, ada terlihat mangsa.

“Pada jam 10 malam, saksi balik semula dan dapati kereta masih ada di lokasi dalam keadaan enjin hidup. Saksi tidak mengesyaki apa-apa dan terus tidur.

“Sekitar jam 1.30 pagi semalam, saksi dengar bunyi bising sebelum mendapati polis dan bomba berada dekat kolam. Saksi juga ternampak lelaki yang menjaga anjing (mangsa) ditarik dari kolam dan telah meninggal dunia. Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam sedalam kira-kira 10 hingga 12 kaki semasa cuci tangan,” katanya.

Noor Hashim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai dan punca kematian adalah lemas.

Polis tiba di lokasi bersama ahli keluarga mangsa dan ternampak sebelah kasut mangsa di tepi kolam dan sebelah lagi di dalam kolam.

Bomba dari Balai Bomba Iskandar Puteri ambil masa 40 minit untuk keluarkan mangsa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");