KUALA LUMPUR: Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut berhampiran bulatan Jalan Pudu di sini, pagi semalam, ditahan malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata lelaki berusia 25 tahun itu yang membuat laporan di Balai Trafik Shah Alam, pada jam 4.08 petang, ditahan sejurus hadir ke Balai Trafik Kuala Lumpur pada jam 7 malam.
“Polis sudah merakam percakapan lelaki itu selain mengambil sampel air kencing serta darahnya untuk dianalisis. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Polis turut menahan kereta yang terbabit dalam kemalangan itu untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia.
Dalam kemalangan jam 10 pagi semalam, Meor Ridzuan M Amin, 25, dari Pandan Mewah, Ampang, maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar kereta yang membuat pusingan U di laluan yang tidak dibenarkan.
Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) akibat cedera parah pada kepala dan badan.
Isteri mangsa, Sri Winda Astuti, 23, yang hamil enam bulan dan membonceng motosikal itu, cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kejadian itu kemudian menjadi tular apabila netizen turut memuat naik maklumat berkaitan pemilik kenderaan itu di media sosial.
Seorang lelaki dalam satu komen di laman Facebook, kemudian tampil mengaku kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah miliknya tetapi mendakwa, ketika kejadian kereta itu dipandu rakannya.
Dia turut memohon maaf dan berharap kes itu segera diselesaikan, selain meminta orang ramai supaya memadam tular yang mengaitkannya dengan kejadian itu.
-BH ONline