Panasnya Hari Ini

Pembangkang Hanya Fokus Pada Jawatan

KUALA LUMPUR : Pembangkang seharusnya tidak terlalu taksub merebut jawatan politik sebaliknya harus mengeluarkan kenyataan-kenyataan dasar untuk dinilai oleh rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, menerusi kenyataan-kenyataan dasar itu, rakyat boleh menilai sama ada pembangkang mempunyai kebersamaan dan dasar mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Abdul Rahman berkata, pada ketika ini, hanya kenyataan yang berbaur politik sahaja dikeluarkan oleh pembangkang seperti siapa yang menjadi perdana menteri dan seumpamanya.

“Kenyataan yang keluar daripada Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin (Yassin) semuanya berkisar pada jawatan.

“Sekarang ini rakyat Malaysia mahukan ketentuan, mahu kepastian, mana satu parti politik yang mempunyai dasar yang boleh membawa mereka maju ke depan dan dengan satu keyakinan,”katanya, lapor Malaysiakini.

Ujarnya lagi, rakyat negara ini mahukan kenyataan dasar yang menyentuh tentang ekonomi, penyelidikan, luar negara dan sebagainya.

“Apakah dasar yang membezakan mereka dari BN?

“Itu sebabnya saya katakan BN ada pengalaman. Hampir setiap hari kita keluarkan kenyataan berdasarkan dasar-dasar pentadbiran,”katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan bahawa Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertemu untuk memuktamadkan mengenai calon mereka bagi jawatan perdana menteri.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula berkata, mereka tetap mahukan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Kit Siang akur bahawa pembangkang terpaksa melantik seorang perdana menteri sementara terlebih dahulu iaitu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");