Sukan Hari Ini

Penantian Faiz

Kuala Lumpur: Debaran cukup dirasai pemain Pulau Pinang Faiz Subri (gambar) menantikan keputusan sebaik tarikh tutup undian pusingan pertama anugerah Puskas 2016 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Keputusan undian itu akan menentukan tiga daripada 10 jaringan tercantik untuk bersaing di peringkat akhir dalam satu majlis berprestij di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.

Biarpun terpaksa bersaing dengan gol jaringan pemain lebih ternama seperti Lionel Messi dan Neymar dari Barcelona namun berdasarkan teknik gol yang dihasilkan oleh Faiz serta reaksi peminat di seluruh dunia, peluang untuk pemain berusia 29 tahun itu berada dalam senarai akhir tiga terbaik amat cerah.

Populariti calon bukan jaminan untuk merangkul anugerah yang diperkenalkan pada 2009 itu kerana pemain Brazil Wendell Lira yang kurang dikenali dinobat selaku pemenang dengan undian sebanyak 46.7 peratus untuk mengatasi Messi (33.3 peratus).

Menurut Faiz, andai berjaya atau tidak, dia tetap berbangga dan tidak akan putus asa untuk terus mencuba meningkatkan kariernya.

“Memang berdebar juga tunggu keputusan tapi apa pun saya serah kepada keputusan undian. Saya tak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini dan jika saya gagal sekali pun, saya tetap meneruskan kerja saya sebagai pemain bola sepak seperti biasa, malah akan berusaha lebih gigih lagi,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selain Messi dan Neymar, turut bersaing untuk merebut anugerah sempena nama penyerang legenda Real Madrid dan Hungary, Ferenc Puskas itu adalah Mario Gaspar dari Sepanyol, Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Marlone (Brazil), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez (Venezuela), Saul Niguez (Sepanyol) dan Simon Skrabb (Finland).

Faiz mencipta sejarah baru bola sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.

Penyerang Pulau Pinang itu sedar ada pihak yang mempertikaikan jaringan yang dikatakan melanggar hukum fizik itu dengan mendakwa ia dilakukan secara tak sengaja namun hakikatnya dia berlatih untuk melakukannya.

“Memang ada yang mempertikaikannya dan ada yang mahu saya melakukan jaringan seperti itu lagi. Saya tidak kisah, saya akan cuba melakukan yang terbaik bukan untuk mencipta nama sendiri tapi untuk kejayaan pasukan.

“Saya berlatih untuk melakukan sepakan seperti itu, ada masa menjadi dan ada yang tak jadi, perkara itu biasa bagi mana-mana pemain,” kata penyerang Pulau Pinang itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");