Kuala Lumpur: Kejayaan Mohammad Shah Firdaus Sahrom (gambar) menempatkan diri dalam kelompok 14 terbaik dunia acara keirin adalah satu petanda positif kepada sukan berbasikal negara.
Senario itu sekali gus membayangkan bahawa Malaysia sudah boleh menyandarkan harapan kepada pelumba kelahiran Johor itu seandainya Azizulhasni Awang memilih untuk bersara satu hari nanti.
Malah, Azizul sendiri mengaku prestasi rakannya itu semakin meningkat sejak mula berlatih bersama skuad elit negara di Melbourne.
“Peningkatan prestasinya itu satu perkembangan positif. Dia boleh menggantikan saya dan mengambil alih tugas sebagai pelumba nombor satu negara nanti,” katanya yang sentiasa membantu memberikan motivasi kepada Shah Firdaus agar terus cemerlang dalam arena berbasikal.
Sementara itu, Azizul yang sudah kembali ke pangkalan latihan negara berkata, selepas berehat untuk satu tempoh yang lama kerana jadual yang perlu dipenuhi sejurus berakhirnya Olimpik Rio, anak jati Terengganu itu mula fokus kepada latihan bersama ketua jurulatih John Beasley.
Pertandingan kompetitif pertamanya tahun depan adalah Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang akan berlangsung di India, Februari nanti dengan sasaran emas selepas sekadar meraih gangsa dalam acara keirin ketika ACC Jepun awal tahun ini.
Sukan berbasikal menutup tirai 2016 dengan kejayaan membanggakan apabila Azizul kembali bergelar pelumba nombor satu dunia dalam acara keirin dengan Shah Firdaus melonjak dari tangga ke-23 ke kedudukan 14 dunia selepas mengumpul 1,450 mata.
-Harian Metro