Membawang Hari Ini

Perjalanan 120 tahun ke planet baru

Kita sememangnya menyedari perkembangan genre sains fiksyen dalam konteks tempatan belum menyerlah dan menggalakkan.

Berbanding di Hollywood, filem sains fiksyen sudah berkembang dan bertapak lama. Antara filem genre berkenaan yang menarik perhatian dunia ialah Star Trek, The Avatar, The Hurt Locker, Inception, Shutter Island, Fantastic dan semestinya siri Star Wars.

Terbaru sebuah lagi filem sains fiksyen berjudul Passengers bakal menemui penonton 29 Disember ini.

Apa yang menarik, sejak penulisnya Jon Spaihts memperkenalkan karya itu sekitar tahun 2007, ia mendapat respons positif.

Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun skrip itu diperam, akhirnya diterbitkan dengan menyaksikan dua bintang ternama Hollywood, Jennifer Lawrence dan Chris Pratt sebagai teraju utama serta diarahkan Morten Tyldum.

Filem ini mengisahkan sebuah kapal angkasa, Avalin yang dicipta khas untuk melakukan perjalanan panjang selama 120 tahun menuju ke sebuah planet baru yang diberi nama Homestead Colony.

Kapal berkenaan membawa 5,000 penumpang yang ‘ditidurkan’ dalam ruang hibernasi. Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila ruang hibernasi Jim Preston (lakonan Chris Pratt) dan Aurora Dunn (Jennifer Lawrence) terbuka 90 tahun lebih awal.

Aurora adalah wartawan dari New York yang berminat mengikuti perjalanan selain mahu merasai pengalaman di sebuah planet baru manakala Jim mekanik dari Denver ingin meninggalkan bumi dan membeli tiket untuk melakukan perjalanan itu.

Ketika kapal Avalon mengalami kerosakan, mereka berusaha mencari cara menyelamatkan semua penumpang.

Memiliki daya penarik luar biasa dan berkarisma dalam setiap watak yang dibawa, kedua-dua pelakon utama ini nyata membantu mencantikkan lagi filem itu. Malah keserasian yang begitu utuh dalam membawakan watak berkenaan cukup berkesan sehingga menutup segala kelemahan filem terbabit.

Kedua-dua pelakon ini dilihat begitu bersahaja dan selesa bersama biarpun mereka menghadapi naik turun perhubungan selain berlaku ancaman besar dalam diri karakter mereka.

Menyentuh mengenai lakonan dua pelakon utama ini, pengarahnya Tyldum dalam satu temu bual berkata, dia awal-awal sudah dapat berasakan Lawrence dan Pratt adalah gandingan sempurna dalam menghidupkan watak Aurora dan Jim.

“Saya sangat teruja apabila dapat menemukan dua bintang ternama ini dalam filem arahan saya. Sebenarnya naluri saya kuat mengatakan dua pelakon ini adalah gandingan yang sempurna dan mantap.

“Mereka pelakon yang pintar apabila faham dengan karakter yang dibawa. Mereka sangat memahami setiap adegan itu membuatkan kerja saya jadi lebih mudah selain mereka berusaha keras untuk memastikan penonton merasai rasa cinta yang lahir dalam dua karakter ini,” katanya

Babak kehilangan graviti paling seronok

Jennifer dalam satu temu bual berasakan Chris seorang berbeza dalam filem ini.

Menurutnya, watak Chris sangat berbeza berbanding lakonannya sebagai Jim.

“Sebagai Jim, dia seolah-seolah tidak mempunyai kekasih dalam hidupnya dan dia benar-benar tidak tahu cara berhadapan dengan wanita.

“Malah aksi romantik yang dipamerkan Chris sangat berbeza dengan dirinya yang saya kenal iaitu seorang suami yang lucu.

“Menerusi filem ini, saya begitu teruja dan seronok apabila berpeluang bekerjasama serta melihat karakternya berubah kepada seorang lelaki yang pemalu, romantik dan kurang keyakinan diri,” katanya.

Jennifer berkata, babak paling mencabar ialah kegagalan graviti ketika dia mandi di kolam renang.

“Babak itu saya kira antara paling sukar. Saya menghabiskan banyak masa di dalam kolam bagi mendapatkan syot yang terbaik hingga menyebabkan hidung dan telinga dimasuki air.

“Filem ini memang menyeronokkan. Ketika saya melihat beberapa contoh teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang dimahukan pengarah, saya begitu teruja untuk melakukannya. Saya tidak pernah menyaksikan babak berkenaan dalam mana-mana filem sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Chris berkata, Passengers akan menjadi sebuah filem epik yang akan diingati kerana mempunyai pelbagai genre.

“Terdapat babak aksi, romantik serta mendebarkan dalam filem ini. Selain itu, terdapat juga babak emosi yang akan membuatkan penonton berasa sedih selain adegan indah yang kelakar,” katanya.

Menurut Chris, antara babak paling diingati dan disukainya ialah ketika Jim dan Aurora kehilangan graviti di dalam kapal berkenaan.

“Saya ditarik mengunakan tali, tetapi pada masa sama perlu berlakon seolah-olah kehilangan graviti menyebabkan badan saya tidak boleh mencecah lantai.

“Ia antara saat yang menyeronokkan sepanjang bergelar pelakon. Terus terang, adegan itu tidak mudah dilakukan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");