TEMERLOH – Perebutan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang menunjukkan mereka amat rapuh dan sememangnya mempunyai perjuangan berbeza.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pakatan disertai DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, awal-awal lagi sudah rapuh.
“Mereka mungkin tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain, perjuangan mereka jauh berbeza. DAP dengan ekstrem perkauman, Amanah hanya kumpulan serpihan daripada Pas yang perjuangannya pun tidak jelas.
“Begitu juga Bersatu yang hanya kerana masalah peribadi terkeluar daripada Umno dan menubuhkan parti sendiri.
“Fokusnya satu sahaja, bukan perjuangan untuk orang Melayu tetapi semata-mata mahu menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan di Masjid Kampung Bukit Tingkat di sini, semalam.
Media semalam melaporkan, tidak sampai seminggu pakatan pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, sudah wujud masalah pembahagian kerusi untuk bertanding pada PRU14.
Ia susulan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei membayangkan Bersatu dan Amanah berkemungkinan tidak akan dibenarkan bertanding di Selangor dan Pulau Pinang.
-Sinar Harian