PONTIAN: Perpecahan dan perselisihan faham sesama sendiri boleh melemahkan kedudukan umat Islam serta kestabilan negara, titah Sultan Johor.
Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, perpecahan perselisihan faham sesama umat Islam turut dikeji agama.
Titah baginda, umat Islam perlu terus berusaha membina dan membangunkan negara serta masyarakat dengan menyatukan ilmu pengetahuan.
“Mudah-mudahan, dengan pendekatan ini, kita akan mendapat keredaan-Nya,” titah Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW dengan tujuan menyempurnakan akhlak yang mulia dan mencontohi akhlak Rasulullah akan dapat menyatupadukan ummah dalam kesatuan serta persefahaman.
Teks ucapan baginda dititahkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Bandar Pontian, di sini.
Terdahulu, Tunku Ismail tiba di perkarangan masjid pada jam 8 pagi dan menyertai perarakan dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama lebih 3,000 peserta daripada 80 kontinjen, bermula dari Dewan Jubli Intan, di sini.
-BH Online