Membawang Hari Ini

Persaingan terlalu sengit

Pentas separuh akhir pertama program 3 Juara yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral,Shah Alam dibuka malam kelmarin.

Semua peserta membabitkan tiga kategori iaitu rock, balada dan irama Malaysia bersaing memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap ‘battle’.

Apa yang pasti, saingan sengit dan hebat membuatkan tiga juri iaitu Awie, Ning Baizura dan Noraniza Idris ‘pening’ untuk membuat pilihan pemenang setiap ‘battle’.

Rata-rata peserta berjaya mempersembahkan prestasi terbaik mereka. Ada yang mencapai tahap diharapkan, namun ada juga kurang meyakinkan.

Di mata penonton, mungkin peserta seperti Azizul, Nura, Rahman dan Nazra untuk kategori irama Malaysia, Kudien, Indra, Eva Maria, dan Arill (rock) serta Aqeem, Appril, Salma dan Hady (balada) memberikan persembahan terbaik.

Namun sebagai juri, Noraniza mengakui terbit rasa bimbang di hatinya apabila melihat persembahan peringkat separuh akhir itu.

“Saya tidak dapat hendak menjelaskan secara terperinci, tetapi ada peserta yang tidak kena pada malam itu. Ini penilaian saya secara keseluruhan kerana melihat persembahan mereka pada minggu sebelum ini adalah lebih baik.

“Apabila di peringkat separuh akhir, sepatutnya persembahan mereka sudah sempurna dan benar-benar mencapai piawaian peringkat ini. Mereka perlu bekerja lebih keras lagi kerana hanya yang layak akan ke peringkat akhir nanti.

“Tidak dinafikan, semua yang layak ke separuh akhir adalah pilihan yang sangat tepat. Mereka terbaik antara yang terbaik dan disebabkan itulah kena buktikan bahawa pemilihan mereka tidak sia-sia,” katanya.

Mengulas lanjut, Noraniza berasakan ada yang tidak sampai pada setiap nyanyian peserta malam itu.

Dia beranggapan perkara itu sebenarnya tidak patut berlaku, namun menyatakan beberapa faktor mungkin menjadi penyebab persembahan mereka ada kurangnya.

“Bukan tidak bagus, cuma saya melihat keseluruhan aspek nyanyian untuk peringkat itu. Ada yang vokal dan penguasaan sudah bagus tapi kurang memberi pada jiwa nyanyian pula dan begitu juga sebaliknya.

“Apa saya nampak ialah elemen terlebih yakin serta teruja pada mereka sehingga mengganggu fokus terhadap hal penting termasuk teknik vokal. Mereka sepatutnya perlu bertenang dan mengawal diri dengan baik agar kesilapan dapat dikurangkan dalam nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutifnya, Sufian Isa berkata, dia bersetuju dengan pendapat Noraniza dan pihak produksi akan mengambil berat elemen penting itu bagi memastikan ia diperbaiki pada dua lagi saingan separuh akhir selepas ini.

“Pada tahap ini, kami faham harapan semua orang sudah tinggi baik dari segi nyanyian peserta serta kehebatan susunan lagu. Namun, ia terpulang kepada penerbit kategori masing-masing dan saya yakin mereka sudah beri yang terbaik.

“Tidak dinafikan, masih ada aspek yang nampak kekurangannya dan apabila juri menyebut mengenainya, penonton nampak ia sebagai isu besar. Tapi sebenarnya kalau ikutkan pada malam itu, mereka mencapai tahap 80 peratus bagus,” katanya.

Salma dan Hady dapat pujian

Dalam saingan separuh akhir pertama kelmarin, markah semua peserta bermula dari kosong semula dan ia akan dijumlahkan secara keseluruhan menerusi dua lagi saingan separuh akhir selepas ini.

Hanya dua peserta yang memiliki markah tertinggi setiap kategori layak bertanding di pentas akhir.

Dalam saingan ‘battle’ malam itu, Nura menewaskan Azizul dengan 2-1 menerusi persembahan lagu medley Suci Dalam Debu/Badarsila, Kudien 3 Indra 0 (Bencinta/Karma), Appril 2 Aqeem 1 (Hati Ini Telah Dilukai/Tegar), Hazra 2 Rahman 1 (Engkau Laksana Bulan/Mentera Semerah Padi), Eva Maria 3 Arill 0 (Kenangan Bersamamu/Lagenda Cintaku) dan Salma 2 Hady 1 (Jika/Antara Anyir Dan Jakarta).

Salma dan Hady menjadi peserta paling menyerlah apabila mendapat pujian hebat daripada setiap juri. Tidak ketinggalan Appril dan Aqeem turut diberikan kredit atas nyanyian mereka yang cukup indah.

Turut menghangatkan pentas adalah persembahan hebat Ning Baizura, Zamani dan Black.

Pentas akhir 3 Juara bakal menobatkan 3 juara mengikut kategori masing-masing dan akan berlangsung pada 8 Januari depan.

Buntat kasi gamat!

3 Juara yang diacarakan Issey, Mira Filzah dan Ammar turut meriah dengan kemunculan Buntat atau Ariff Abdullah, 12, yang popular menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaimu.

Kemunculan Buntat di pentas 3 Juara menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang rata-ratanya terkesan dengan wataknya dalam drama bersiri lakonannya bersama Shukri Yahaya dan Siti Saleha itu.

Buntat ketika ditemu bual tiga pengacara terbabit jelas gembira apabila diberi peluang membuat kemunculan dalam program itu.

Malah, Buntat dengan selamba turut menyanyi apabila disuruh berbuat demikian.

Dia yang membawakan lagu Bara nyanyian asal Awie berjaya menggamatkan suasana.

Terhibur dengan gelagat Buntat, Awie sempat mengusik kanak-kanak itu supaya menukar namanya kepada Pukat.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");