Berita Hari Ini

Pertingkat kawalan keselamatan stor senjata

KULAI – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa agensi polis bantuan supaya mempertingkatkan kawalan terhadap keselamatan bilik kebal atau stor penyimpanan senjata masing-masing agar tidak terdedah kepada serangan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, kumpulan pengganas ini bukan sahaja mahu menyasarkan serangan di tempat-tempat awam, tetapi juga menyasarkan anggota polis termasuk polis bantuan.

Justeru itu, agensi polis bantuan perlulah bukan sahaja mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan bilik kebal atau stor penyimpanan senjata api tetapi memastikan kawalan keselamatan di situ dipertingkatkan.

“Jadi, saya mengingatkan polis bantuan supaya sentiasa awas, berhati-hati kerana mereka juga boleh dijadikan sasaran termasuk tempat simpanan senjata api yang perlu kita beri keutamaan dalam memastikan keselamatannya dan senjata api tidak jatuh ke tangan musuh seperti penyokong Daesh,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup Persidangan Polis Bantuan Malaysia kali ke-28 di sini hari ini.

Oleh itu beliau telah mengarahkan beberapa pasukan naziran daripada Unit Pelesenan Senjata Api untuk turun memeriksa SOP yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia kepada agensi polis bantuan ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Khalid berkata adalah penting agar agensi polis bantuan menitikberatkan keselamatan bilik kebal atau stor penyimpanan senjata api masing-masing terutama dalam situasi keselamatan negara ketika ini.

“Kita tidak mahu adanya kes kehilangan senjata api disebabkan kawalan yang longgar oleh agensi polis bantuan,” kata Khalid.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");