Sukan Hari Ini

Petra rehat 6 bulan

Prague: Juara Wimbledon dua kali Petra Kvitova memerlukan sekurang-kurangnya rehat enam bulan apabila tangan kirinya cedera teruk selepas rumahnya dimasuki pencuri, menurut doktor yang menjalankan pembedahan ke atasnya, kelmarin.

“Jika anda bercakap mengenai kembali bermain, ia kira-kira enam bulan,” kata pakar bedah Radek Kebrle, sehari selepas menjalankan pembedahan selama empat jam ke atas tangan kiri bintang Czech itu.

Jurucakap Petra menganggarkan pemain nombor 11 dunia itu tidak boleh memegang raket sekurang-kurangnya tiga bulan ketika dia memulihkan diri selepas bertarung dengan pencuri bersenjata pisau di rumahnya di Prostejov, bandar utara Czech.

“Petra akan berehat di katil selama 14 hari, dia akan memulakan proses pemulihan secara perlahan-lahan kira-kira enam hingga lapan minggu selepas pembedahan,” menurut kenyataan akhbar pasukan pengurusannya.

“Senario terbaik Petra boleh turun ke gelanggang tenis selepas enam bulan.

“Terlalu awal untuk mengkhususkan bila masa tepat buatnya untuk kembali bertanding, tapi Petra sedia melakukan apa saja untuk kembali bertanding di peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu lagi.

“Ia satu kecederaan serius, sesuatu yang besar dan kami mesti menganggapnya dari sudut ini,” ujar Kebrle, menambah beliau dan rakan seperjuangannya akan melakukan yang terbaik “jadi semuanya boleh kembali seperti sedia kala.”

Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan di semua lima jari tangan kirinya, tangan yang memegang raket, selepas mempertahankan diri daripada penceroboh di rumahnya.

“Dia mengalami kecederaan selepas mengambil pisau daripada penyerangnya. Pembedahan berlangsung lama kerana lukanya dalam dan perlu dilakukan berhati-hati untuk mengelak kerosakan lebih teruk,” jelas doktor itu.

“Dia muda dengan kesihatan yang baik dan mempunyai jari yang panjang,” tegas Kebrle, menambah pembedahan itu “berjalan amat baik tanpa sebarang komplikasi” sebelum memberikan bayangan mengenai pemulihan Petra.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");