Sukan Hari Ini

Piala FA 2017: Ranjau awal buat JDT

TUGAS mencabar buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musim depan apabila diundi bertemu seteru utama Felda United pada pusingan kedua.

Pada pusingan itu nanti, JDT akan berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang yang akan berlangsung pada 17 Februari.

Bagaimanapun Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya, tidak mahu membuat sebarang ramalan berkaitan perlawanan tersebut.

“Undian seimbang buat kedua-dua pasukan, cuma terlalu awal untuk buat andaian mengenai perjalanan JDT bagi saingan ini.

“Apa pun, bagi JDT, kami akan cuba buat terbaik seperti biasa dan melihat persiapan rapi dilakukan saya yakin kita mampu memberi cabaran.” katanya ketika ditemui selepas undian Piala FA di Shah Alam, semalam.

Bagi jurulatih Felda United, Azmi Mohamed pula yakin mereka mempunyai peluang untuk menewaskan JDT.

Namun katanya, ia bergantung pada kemampuan pemain ketika turun beraksi di padang.

“Beraksi di tempat sendiri bukan kelebihan untuk kami, lagipun tahun depan adalah musim baru, dalam pasukan juga berlaku perubahan,” jelasnya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan mengalahkan PKNS FC 2-1 di pentas akhir pada 14 Mei lalu, manakala Felda United terkandas di separuh akhir.

Sementara itu, pasukan yang mampu mencabar kejuaraan, juara Piala Malaysia 2016 Kedah bertemu Kuala Lumpur, manakala juara Liga Perdana Melaka United bertemu naib juara PKNS FC.

Pasukan bermasalah Selangor pula berdepan Negeri Sembilan, sementara peluang Kelantan untuk mara peringkat seterusnya cerah apabila hanya perlu mengatasi pasukan dari Liga Perdana, PKNP FC.

Pahang yang membuat rombakan besar pasukan dengan membawa masuk bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh akan membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Kesemua perlawanan pusingan pertama akan berlangsung pada 5 Februari yang menampilkan 13 pasukan Liga FAM yang mana tiga daripada mereka termasuk KDMM FC, UKM FC dan MPKB-BRI U-BES sudah mendapat bye secara automatik ke pusingan kedua

Pusingan kedua akan berlangsung 17 Februari dengan kesemua perlawanan secara kalah mati, sama dengan format musim lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");