Sukan Hari Ini

PKNS FC Lega FMLLP Lanjut Tempoh Seminggu Sahkan Penyertaan

PETALING JAYA: PKNS FC kini menarik nafas lega apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberikan tempoh sehingga Jumaat depan untuk mengesahkan penyertaan mereka pada Liga Malaysia (L-M) musim 2017.

Presidennya, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, pihaknya menerima surat kelulusan daripada FMLLP mengenai keputusan rayuan tersebut pada Khamis.

“Kami terima surat itu bertarikh 1 Disember dan penangguhan itu adalah untuk tempoh tujuh hari (waktu bekerja). Kami amat berterima kasih kepada FMLLP kerana mempertimbangkan rayuan ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Jelas Siti Zubaidah, tempoh lanjutan itu amat penting bagi PKNS FC dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menyelesaikan kemelut yang timbul secara baik.

“Ini amat bermakna kerana sekurang-kurangnya ada ruang untuk kami berbincang dengan FAS mengenai isu ini. Insya-Allah kita akan terus berunding dengan FAS sehingga isu ini diselesaikan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa yakin isu itu akan diselesaikan dalam tempoh yang diberikan FMLLP.

“Saya sangat optimis. Untuk makluman semua, persediaan pasukan kami berjalan dengan lancar dan kami akan memulakan latihan pada hari ini.

“Ini satu petunjuk mengatakan saya optimis isu tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PKNS FC masih mengharapkan agar FAS memberikan kerjasama dengan menghantar surat sokongan terhadap penyertaan mereka dalam Liga Malaysia.

“Kami amat mengharapkan kerjasama FAS untuk memberikan surat sokongan mereka kepada PKNS FC. Kami juga mahu penyokong mendoakan agar urusan pasukan untuk beraksi pada Liga Malaysia musim depan di permudahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam ketika dihubungi berkata mereka meluluskan permohonan tersebut kerana pengurusan FAS dan PKNS FC kini dalam proses menyelesaikan kemelut membabitkan kedua-dua pihak.

“Kita lihat kedua-dua pihak sedang cuba menyelesaikan masalah yang timbul. Malah kita juga yakin ia bukan isu yang disengajakan,” katanya.

Selaku ahli gabungan FAS, PKNS FC memerlukan sokongan badan bola sepak negeri itu untuk beraksi selaras dengan syarat pertandingan Liga Malaysia 2013-2016.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");