Berita Hari Ini

PLUS belanja RM5 juta baiki pagar LPT2 yang dipotong

KUALA NERUS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membelanjakan kira-kira RM5 juta sepanjang tahun ini bagi membaiki pagar di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang diroboh atau dipotong oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata keadaan sedemikian berlaku berikutan tindakan penduduk di kawasan sekitar untuk membolehkan mereka melalui kawasan itu dan membawa binatang ternakan memakan rumput di sekitar lebuh raya.

“Rumput di LPT2 itu dikatakan sangat subur dan mereka melepaskan ternakan untuk meragut rumput di tengah-tengah lebuh raya. Perbuatan itu akan mengundang bahaya.

Saya mohonlah supaya penduduk sekitar LPT2 itu tidak memotong pagar tersebut kerana ia akan membahayakan pengguna,” katanya pada program kembali ke sekolah PLUS 2017 yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini pada Khamis.

Mohammad Fuad berkata berikutan kesukaran untuk menahan mereka yang melakukan pencerobohan itu, mereka akan mengadakan rondaan yang lebih kerap bagi memastikan kejadian tidak berulang.

Sementara itu, mengenai tanggungjawab sosial korporat oleh PLUS, beliau berkata pengagihan kelengkapan sekolah telah dibuat di pelbagai negeri bermula di Johor dan pada program di sini, ia melibatkan seramai 7,500 pelajar dengan peruntukan RM1.3 juta.

Katanya, sepanjang tiga tahun program itu berjalan, PLUS telah membelanjakan kira-kira RM6 juta melibatkan 30,000 pelajar miskin dan bagi Terengganu, ia melibatkan 2,000 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM30,000.
— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");