Berita Hari Ini

Polis tak halang kebebasan berkarya

KULAI – Polis tidak menentang, sebaliknya menyokong sebarang bentuk karya seni yang ingin ditonjolkan oleh rakyat di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bagaimanapun pihaknya tidak kan membenarkan apa jua bentuk karya seni yang mencaci, menghina dan juga menghasut.

“Banyak artis kita tidak ambil tindakan pun. Ramai artis contoh Lat.. Ada kita pernah ambil tindakan kepada Lat? Tidak. Dia (Lat) pun kadang-kadang berjenaka terhadap pemimpin-pemimpin negara.

“Kita tidak mengambil tindakan kerana kita tahu itu betul-betul menggunakan jenaka. Tetapi nak membuat jenaka untuk menghasut itu lain. Jadi yang itu kita tidak benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di Senai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Rusli Ahmad; Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Presiden Polis Bantuan Malaysia, Baharuddin Othman.

Khalid berkata, dirinya akui hairan dengan seorang kartunis di negara ini, yang suka membuat kartun menghina dan mencaci pemimpin tanah air.

“Sampai pergi ke luar negara. Membuat pameran.. Menghina pemimpin kita, menghina negara kita.

“Apa tujuan dia itu? Apa dia hendak capai? Siapa yang suruh dia buat macam itu? Apa sebabnya?,” soalnya.

Beliau akui pernah menasihati kartunis terbabit untuk melukis kartun dalam bentuk lain, namun individu itu masih menghasilkan karya sama (jenaka menghasut).

“Saya ada baca surat khabar, hendak minta derma pula kerana buku-bukunya telah dirampas oleh polis.

“Lepas ini kalau dia buat lagi, kita akan ambil tindakan lagi. Jangan ingat kita lupa pada dia. Saya selalu mengingatkan bahawa jerat tidak akan lupa pada pelanduknya,” katanya.

Khalid berkata, setiap tindak tanduk warga Malaysia, perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");