Jenayah

Polis tumpas geng Kak Yong

KOTA TINGGI: Polis berjaya menumpaskan geng Kak Yong dengan tertangkapnya lima suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan berbeza minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, tangkapan dan rampasan itu dilakukan pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dalam Ops Lejang yang dijalankan tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada 28 November jam 6.30 pagi oleh anggota Balai Polis Telok Sengat yang membuat tangkapan semula terhadap dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4.

Katanya, bertindak atas maklumat, pada 29 November kira-kira jam 1.30 pagi, pasukan Task Force yang diketuai oleh Inspektor P Devendiran telah menahan suspek ketiga iaitu seorang perempuan berusia 28 tahun dikenali sebagai Kak Yong di Felda Bukit Aping.

“Hasil pemeriksaan lanjut dihadapan rumah suspek ke tiga telah menjumpai satu rangka motosikal dan satu enjin motosikal yang telah dilaporkan hilang di Telok Sengat pada November 2016.

“Lanjutan dari itu, berpandu maklumat kesemua suspek, pada 30 November, jam 12.55 malam pasukan telah ke Pondok Rela Air Tawar 4 dan merampas sebuah motosikal jenis Yahama 125Z.

“Manakala pada jam 3.06 pagi bertempat di Jalan Manggis Felda Aping Timur, polis juga telah merampas sebuah motosikal Kawasaki KR 150 dan motosikal Yahama 125Z serta sebuah motosikal Scrambler QKTN 200 yang dilaporkan hilang di Bandar Penawar pada November lalu.

“Semua motosikal berkenaan nombor chasis dan enjin telah diganggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebelum itu pada hari yang sama, jam 1.15 pagi, pasukan telah pergi ke Blok 10, Felda Bukit Waha dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun merupakan suspek ke empat.

Turut dirampas bersama suspek, sebuah motosikal jenis Kawasaki RR 150 yang nombor chasis dan rangka telah diganggu.

Pada jam 5 petang hari dan pasukan yang sama sekali lagi telah ke Pondok Rela Air Tawar 4 dan Jalan Manggis, Felda Aping Timur dan berjaya merampas motosikal jenis Honda Wave 125 yang dilaporkan hilang di Scientex pada November 2016.

Turut ditemui sebuah motosikal jenis Yahama 135 LC yang dilaporkan hilang di Pelangi Indah pada Nov 2016, sebuah enjin motosikal jenis Demak yang laporkan hilang di Scientex pada awal Nov 2016, dan satu rangka motosikal jenis Yahama LC yang dilaporkan hilang di Air Tawar pada 2015.

“Bertindak atas maklumat, polis juga berjaya menangkap suspek ke lima iaitu seorang lelaki berusia 18 tahun di Felda Aping Timur pada hari yang sama.

“Kesemua tangkapan kini ditahan reman sehingga 11 Disember ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,”katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");