Isu Panas

PRU-14: Tubuh Kesatuan Pembangkang Hadapi BN – Mat Sabu

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan kesediaan bersama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menubuhkan kesatuan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, penubuhan itu bertujuan untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) termasuk Umno dalam pilihan raya dengan penetapan satu logo, satu manifesto dan satu gerak kerja.

Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, parti-parti pembangkang perlu membentuk kerjasama politik yang tersusun, bersatu-padu, bermatlamat dan mempunyai hala tuju yang jelas sekiranya mahu berdepan dengan BN.

“Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada Umno-BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh.

“Hanya kerjasama politik seperti ini sahajalah yang mampu memberi jawapan kepada dilema politik negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, Sabtu.

Bulan lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Pakatan Harapan seharusnya bertanding di bawah satu logo dan satu manifesto seperti BN untuk menang pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun ketika ini, PPBM masih belum lagi memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Mat Sabu berkata, tanpa komitmen untuk membina kerjasama politik yang padu, pakatan pembangkang tidak mampu melakukan reformasi secara keseluruhan terhadap sistem sosioekonomi dan politik tanah air.

“Amanah kini bersedia untuk menggalas cabaran getir bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Konvensyen Amanah 2016 yang berlangsung selama dua hari sehingga Ahad dihadiri beberapa pemimpin parti pembangkang, antaranya ialah Dr Mahathir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");