Sukan Hari Ini

Red Giants makin pincang

Shah Alam: Kepincangan skuad Selangor untuk mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan semakin parah apabila mereka kehilangan tiga lagi tonggak utama termasuk kapten Shahrom Kalam.

Pemain pertahanan tengah Shahrom membuat keputusan berpindah ke Perak bersama pemain tengah Hafiz Kamal manakala spekulasi perpindahan pemain sayap R Gopinathan ke Melaka United hampir menjadi kenyataan selepas dia tidak hadir menjalani latihan pertama Red Giants semalam.

Menurut pemangku jurulatih K Gunalan (gambar), dengan berbaki sebulan sebelum liga bermula, amat sukar untuk beliau menyiapkan pasukan dengan ketiadaan ramai pemain utama.

“Shahrom dan Hafiz saya fikir sudah sah ke Perak, cuma Gopinathan saya tidak pasti, mungkin dia ada perancangan tersendiri kerana tidak hadir pada latihan ini.

“Kami sudah lambat buat persiapan, sekarang sudah 19 Disember, pasukan lain sudah lama membuat persiapan. Ia memang cukup berisiko kepada saya, sepatutnya pihak pengurusan memanggil saya untuk memaklumkan apakah keputusan mereka.

“Dengan pemain yang saya ada, memang kami akan bergelut untuk mengharungi liga tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan pertama pasukan semalam.

Nasib juara Piala Malaysia 33 kali Selangor musim depan terumbang-ambing selepas kerajaan negeri membuat keputusan tidak memberikan dana kepada pasukan tahun depan.

Kemelut ini susulan pergeseran antara Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang juga Menteri Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan barisan Exco.

Selain tiga pemain itu, Red Giants juga sudah kehilangan Nazmi Faiz Mansor dan Hazwan Bakri yang menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT) serta Rizal Fahmi Rosid, Hadi Yahya dan S Subramaniam yang tidak menyambung kontrak.

Ketika ini Gunalan memiliki 18 pemain yang masih memiliki kontrak setahun iaitu penjaga gol Norazlan Razali, Khairul Azhan Khalid, Zarith Irfan Hashimuddin, pertahanan Bunyamin Omar, Razman Roslan, Raimi Mohd Nor, Fitri Shazwan, pemain tengah S Veenod, Adam Nor Azlin, Saiful Ridzuwan Selamat dan tujuh pemain dari Piala Presiden.

Semua pemain itu hadir pada sesi latihan termasuk G Mahathevan yang menjalani ujian pemilihan.

Pemain import Andik Vermansyah masih kekal bersama Selangor namun apa yang meresahkan Gunalan apabila tonggak Indonesia itu dikhabarkan mengalami kecederaan lutut ketika beraksi pada Piala AFF.

“Bukan senang nak main Liga Super tahun depan, pemain Piala Presiden kami tidak cukup pengalaman dan pendedahan. Saya kena ada tujuh, lapan pemain lagi untuk bahagian pertahanan, tengah dan serangan.

“Tapi untuk ambil pemain baharu, saya kena tengok bajet yang FAS ada,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");