Membawang Hari Ini

Reen mahu lebih mantap

Semakin ramai peminat bermakna tanggungjawab seseorang artis itu juga semakin besar.

Demikian yang dirasakan pelakon jelita, Reen Rahim apabila jumlah peminatnya meningkat secara mendadak.

Menurut bekas juara Pilih Kasih 3 (PK3) berusia 28 tahun itu, dia puas apabila akhirnya berjaya membuka mata ramai menerusi bakatnya selepas empat tahun bergelar pelakon.

Bagaimanapun, kepercayaan yang diberikan bukanlah alasan untuk dia berasa selesa.

“Syukur apabila rezeki semakin bertambah sekarang. Paling penting penggiat drama terus memberikan kepercayaan. Bukan mudah untuk meraih semua itu. Saya mengambil masa bertahun-tahun, barulah tercapai.

“Itulah yang saya mahu iaitu kepercayaan mereka datang daripada bakat saya. Saya tak mahu dikenali dan dikejar hanya kerana kontroversi semata-mata.

“Ia menjadikan saya lebih semangat dalam mengorak langkah ke tahap lebih tinggi. Peminat sendiri pun mahu melihat kita lebih maju dan semakin bagus,” katanya ditemui pada majlis tayangan promosi filem Soulmate Hingga Jannah di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Reen tidak pernah berasakan dirinya sudah cukup bagus kerana baginya, sikap sebegitu boleh membunuh kariernya.

Pembelajarannya dalam bidang lakonan tidak akan berhenti kerana pelakon kelahiran Klang, Selangor itu perlu membuktikan dia adalah pelakon serba boleh.

Sehubungan itu, dia bercadang berguru dengan bintang handalan dalam bidang dicintainya itu.

“Makin lama berada dalam bidang ini membuatkan saya rasa lagi banyak perkara saya tidak tahu. Bagi saya, pembelajaran di lokasi penggambaran saja tidak cukup kerana kita perlu betul-betul mendalami ilmu lakonan daripada yang lebih arif.

“Itu juga antara perancangan saya untuk 2017. Saya mahu benar-benar memantapkan lagi kemahiran saya. Saya kena selalu mencari alternatif yang terbaik bagi memastikan diri tidak berada dalam zon selesa,” katanya.

Reen berkata, dia tahu jadualnya sentiasa sibuk, tetapi dia tetap akan mencuri masa dalam setiap penggambaran untuk mengambil kelas lakonan sama ada bersama Ellie Suriaty atau Fauziah Nawi.

Rezeki makin murah

Bercerita mengenai perancangannya tahun depan, Reen berkata, dia tidak ada perancangan untuk memperlahankan kariernya walaupun berlakon tanpa henti sejak empat tahun lalu.

Bakal tampil dengan filem Soulmate Hingga Jannah arahan Prof Datuk A Razak Mohaideen bersama Taufik Batisah, Raja Ilya dan Douglas Lim pada Februari tahun depan, dia juga masih teruskan penggambaran pelbagai drama.

“Itulah, saya memang tak sedar pun sudah empat tahun rupanya bergelar anak seni. Perjalanan ke tahap sekarang memang bukan mudah dan tangganya berliku-liku.

“Dengan rezeki yang semakin murah selain ramai penerbit pun percayakan bakat saya, lebih baik teruskan dengan menerima tawaran mereka. Bukan niat mahu tamak tapi saya rasa itu sajalah jalan terbaik buat saya memperbaiki diri lagi,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");