Membawang Hari Ini

Reen Rahim: Permulaan baik 2017

SELEPAS menjadi juara dalam program mencari bintang lakonan, Pilih Kasih musim ketiga pada 2013 lalu, Noreen Ashikin Abdul Rahim, atau nama komersialnya, Reen Rahim,28, mula melangkah yakin dalam mewarnai persada seni tanah air bersama deretan untaian drama di kaca TV khususnya.

Hampir tiga tahun berlalu, gadis manis yang merupakan anak ketiga dari empat beradik ini nyata bersyukur atas rezeki yang diraihnya dalam lakonan dari dulu hingga kini.

Meskipun namanya tidak seglamor aktres seangkatan lain, namun Reen setidak-tidaknya sudah berjaya membuktikan kebolehan dan dia hadir dalam dunia showbiz tempatan adalah berlandaskan pada tiket bakat dan bukan fizikal semata- mata.

“Alhamdulillah dengan rezeki yang ALLAH SWT kurniakan buat saya. Satu demi satu tawaran berlakon datang dan saya anggap ia sebagai satu permulaan yang baik untuk saya pada tahun hadapan kelak.

Syukur atas kepercayaan karyawan seni selama ini,” katanya yang kini kian diperkatakan setelah beraksi menerusi drama Dairi Cinta Kita untuk siaran TV9.

“Jujurnya, saya tidaklah meletakkan harapan terlalu besar untuk terus mengecap populariti. Saya terjun dalam arena seni lakon pun daripada pertandingan realiti mencari pelakon dan pastinya, ini merupakan minat sejak dulu.

Soal glamor atau tidak itu perkara kedua. Yang penting, kehadiran saya disedari dan diterima ramai. Saya sendiri masih lagi boleh dikira baru dan banyak yang perlu dipelajari lagi untuk memantapkan skil lakonan,” ujarnya merendah diri.

Berkongsi mengenai perkembangan terkininya lagi, aktres yang dilahirkan pada 3 November 1988 ini turut teruja menantikan apakah reaksi peminat mengenai penglibatannya di dalam filem terbaru berjudul Soulmate, Hingga ke Jannah bersama Erra Fazira.

“Insya-ALLAH, filem tersebut akan ditayangkan pada umum Februari depan. Oh ya, sudah pasti saya berdebar dalam menantikan apakah respons penonton.

“Selain Erra, pelakon lain yang turut terlibat sama ialah Taufik Batisah dan Raja Ilya,” ujar Reen yang turut terlibat di dalam sebuah lagi filem genre aksi, Balun bersama Izara Aishah.

Dalam perkembangan lain, aktres cantik ini baru saja dilantik sebagai wajah produk penjagaan diri, Asianic.

Berkongsi mengenai pelantikannya itu, Reen mengakui sebagai seorang selebriti, menjadi keutamaan buatnya untuk menjaga penampilan.

“Sudah pasti, bila penampilan tampak segar, kita rasa yakin untuk berdepan dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kerjaya sebagai pelakon membuatkan saya perlu tampak segar, tidak hanya pada penampilan semata, tetapi juga soal penjagaan dan kebersihan diri.

Paling penting, ia halal digunakan, berbau harum dan sesuai untuk di bawa ke mana-mana sahaja,” katanya yang dilantik sebagai wajah wakilan jenama tersebut untuk tempoh setahun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");