Membawang Hari Ini

Saida, suami jadual semula tunai umrah

KUALA LUMPUR: Kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza, Saida Tarudin, 40, memasang impian mengerjakan umrah dengan suami, Hafiizh Che Mat, 36, selepas pemergian ke Tanah Suci yang sepatutnya bulan ini namun tertangguh.

Beliau yang kini bergelar isteri kepada perunding pengurusan acara, kamera video dan produksi itu menyatakan hasrat mereka terbantut berikutan hal yang tidak dapat dielakkan.

“Selepas meraikan bulan madu di Pulau Redang beberapa minggu selepas diijab kabul pada Oktober lalu, kami merancang mengerjakan umrah pula bulan ini tetapi perancangan Allah adalah sebaik-baiknya.

“Kami reda, mungkin ada rezeki pada lain waktu. Dalam hati teringin juga berbulan madu di negara sejuk.

“Tidak kiralah di mana pun janji asal bersalji. Walaupun badan saya jenis yang tidak tahan sejuk, tetap saya mahu merasai pengalaman itu.

“Syukur, kehidupan kini seperti biasa. Semuanya dengan izin-Nya. Ikutkan saya dan suami memilih untuk melalui kehidupan secara sederhana asalkan kami sekeluarga bersama” katanya kepada BH Online.

Kata penyanyi yang berkahwin kali kedua itu, pengalaman suami yang sama-sama pernah melalui fasa sepertinya membuatkan mereka saling memahami, sekali gus belajar daripada kesilapan lalu.

“Kami sama-sama ada pengalaman. Jadi tiada sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan status baharu. Bagi kami, setiap pasangan berbeza perjalanan perkahwinan mereka. Kami lalui berbekalkan pengalaman masing-masing.

“Proses membiasakan penerimaan anak saya dengan suami dan diri masing-masing juga kami lakukan secara perlahan,” katanya yang dikurniakan empat cahaya mata menerusi perkahwinan pertama.

Mengenai perancangan menambah ahli keluarga, Saida akui mereka tidak menolak rezeki namun enggan terlalu terburu-buru dalam soal itu.

“Kalau ada rezeki, kami terima lapang dada dan hati. Tetapi jujur, saya dan suami mahu menikmati kehidupan baharu ini mungkin dalam setahun dahulu. Kalau Tuhan berikan dalam masa terdekat, itu ketetapan-Nya,” katanya.

Saida yang bertugas di Siti Nurhaliza Production memaklumkan kerjaya seninya masih berlangsung seperti biasa dan turut mendapat sokongan Hafiizh.

Beliau sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada Disember 1996, namun berpisah Oktober 2011.

Hafiizh mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");