Kota Bharu: “Saya ingatkan patung, rupanya objek itu adalah mayat seorang lelaki,” kata Mohd Irman Abdullah, 35 yang menemui mayat terapung di Jambatan Tendong, Pasir Mas, semalam
Dalam kejadian jam 8.04 pagi itu, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu hampir reput ditemui terapung di Sungai Kelantan di kampung berkenaan.
Mayat dibawa ke Hospital Perempuan Raja Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat.
Mohd Imran berkata, sebelum kejadian dia mengayuh basikal sendirian melalui jambatan berkenaan.
Katanya, dia kemudian berhenti untuk mengambil gambar sebelum ternampak objek seakan-akan patung di dalam sungai.
“Ketika mengambil gambar, saya ternampak objek kelihatan seperti patung di dalam sungai.
“Beberapa minit kemudian saya memberitahu seorang individu yang melalui jambatan itu yang sedang berjoging untuk mendapat kepastian mengenai objek berkenaan menyerupai manusia.
“Lelaki itu kemudian memberitahu itu adalah mayat sebelum saya terus hubungi 999,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
“Mayat dibawa ke darat dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita belum mengenal pasti identiti mayat terbabit. Oleh itu, kita minta kerjasama orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis untuk sebarang maklumat,” katanya.
-Harian Metro