Membawang Hari Ini

‘Saya tak boleh tutup mulut orang’

Sebelum ini gosip bertiup kencang mengatakan penyampai radio Era, Radin Amir Affendy, 26, bercinta dengan pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat.

Bagaimanapun, Radin yang juga pengacara AM Live itu beberapa kali menjelaskan antara mereka tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.

Hubungan baik yang terjalin antara mereka tidak lebih daripada kawan biasa dan Radin sendiri menegaskan dia senang berkawan dengan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Pencuri Hati itu.

Walaupun menjelaskan mengenai gosip terbabit beberapa kali, ada antara peminat tidak mahu mempercayainya.

Lebih-lebih lagi apabila melihat kemesraan ditonjolkan setiap kali Radin dan Ayda menghadiri majlis hiburan mahupun muncul dalam program khas TV bersama.

Tidak kurang juga ada yang memberi pandangan, sebenarnya gosip cinta antara Radin dan Ayda sengaja digembar-gemburkan bagi mempopularkan penyampai radio Era itu.

Ditemui dalam majlis Pelancaran MV Karaoke dan sidang media Demi Cinta, Ezad Lazim baru-baru ini, Radin yang hadir selaku pengacara menegaskan, dia menyertai industri sebagai penyampai radio dan pengacara bukan dengan niat untuk mengejar populariti.

Katanya, kalau ada pihak yang melihat persahabatan baik terjalin antara mereka kerana mahu mengejar populariti dia tidak mampu menutup mulut semua orang.

“Terpulanglah. Pada saya, apa yang penting adalah kerjaya saya. Tambah pula saya tidak kisah dengan apa yang orang mahu kata kerana apa yang penting walaupun masih muda, banyak ilmu yang saya dapat pelajari daripadanya.

“Contohnya gosip bercinta ini mula timbul apabila Ayda hadir ke studio menjadi tetamu program yang saya kendalikan, carta lagu Cinta 40 Era.

“Bayangkan sewaktu Ayda hadir ke studio, dia memberi cadangan bagi menambah baik corak persembahan program yang saya kendalikan.

“Apabila berbincang dengan penerbit, kami bersetuju dan mengunakan idea diberikan. Ternyata apabila dipersembahkan, pendengar suka,” katanya gembira.

Kata Radin, walaupun ada yang cuba memberi maklum balas negatif membabitkan gosip ditimbulkan, dia tidak akan ambil pusing sehingga ia boleh menjejaskan persahabatan mereka.

“Saya tahu saya akan rugi kalau menjauhkan diri daripada Ayda sedangkan banyak perkara yang saya boleh belajar daripadanya dalam memperbaiki diri membabitkan kerjaya seni,” katanya.

Radin tidak nafikan kerana mempunyai karakter yang hampir serupa terutama dalam keletah apabila berkata-kata membuatkan timbul keserasian antara dia dan Ayda hingga membuatkan mereka dilihat sangat serasi dalam berkawan.

Pernah mengendalikan program Kapsul Akademi Fantasia 2016 dan kini diberi tanggungjawab menjayakan program pagi di Astro Ria, AM Live, Radin akui kerjaya pengacaraan menjadi minatnya sejak dulu dan sekarang ini baru peluang diperoleh.

“Saya melihat perkembangan kerjaya seni saya sebagai penyampai radio dan kini pengacara sebagai rezeki. Apabila peluang datang, tidak salah untuk saya mencuba,” katanya.

Walaupun penat apabila malam harus bertugas di konti Era dan esoknya harus bangun awal mengacarakan program AM Live, Radin tidak pernah mengeluh.

Katanya, walaupun harus mengorbankan sebahagian besar masanya pada kedua-dua kerjaya diminati itu, dia gembira dengan apa yang dilakukannya.

“Saya juga belajar daripada Ayda yang bekerja keras untuk mengejar cita-cita dan impian. Bayangkan dia berlakon dan waktu sama harus memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian.

“Malah ada ketika dia tidak ada waktu rehat langsung tetapi dia tidak pernah sekali pun mengeluh dan tetap melayan peminatnya dengan baik.

“Dia menjadi sumber inspirasi saya dan kegigihan Ayda memberikan saya satu motivasi. Jadi saya tidak ada masalah untuk mengendalikan dua kerjaya dalam satu masa asalkan sentiasa menjaga disiplin dan menghormati waktu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");