KOTA BHARU: Kumpulan rock terkenal tanah air, Search akan melancarkan single terbaharu mereka sebagai hadiah kepada peminat yang selama ini menyokong mereka.
Vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, berkata single yang belum diberi tajuk itu akan dilancarkan awal Februari tahun hadapan.
“Ia adalah sebagai buah tangan kami kepada mereka yang ternanti-nanti lagu terbaharu daripada kami serta tidak pernah putus menyokong kami.
“Sempena kedatangan tahun baharu ini juga kami ingin melupakan apa yang terjadi sepanjang 2016 dan kami ingin memulakan fasa baharu dalam perjalanan Search,” katanya ketika ditemui selepas konsert yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Konsert yang diadakan di Kota Bharu turut mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat apabila lebih 1,000 pengunjung hadir semata-mata untuk melihat persembahan Search.
“Kami tidak menyangka sambutan diterima amat memberansangkan terutama dikalangan golongan muda.
“Untuk sambutan Tahun Baharu, kami akan mengadakan konsert ambang tahun baharu di Kedah pada 31 Disember ini,” katanya.-berita harian/ foto-mstar