Berita Hari Ini

Sejuta kad prabayar, data 10GB untuk warga luar bandar

KUALA LUMPUR: Seiring matlamat merapatkan jurang teknologi, sebanyak sejuta kad prabayar dengan data internet 10 gigabit (GB) diedarkan kepada masyarakat luar bandar.

Pakej kad prabayar hasil kerjasama antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Celcom Axiata itu akan mula diagihkan menerusi siri jelajah di seluruh negara, mulai bulan ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama strategik itu adalah sebahagian usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir dalam arus kemodenan.

“Lanjutan daripada kerjasama ini, kita bercadang untuk menyediakan kandungan dan aplikasi mudah alih untuk pekebun kecil, selain meningkatkan capaian jalur lebar di beberapa lokasi yang berpotensi.

“Kemajuan ini akan digunakan kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada warga luar bandar secara terus menerusi atas talian, merangkumi harga dagangan semasa bagi getah dan komoditi lain.

“Aplikasi ini juga akan digunakan sebagai saluran komunikasi utama antara KKLW dan agensi penghubung dalam kementerian serta komuniti luar bandar,” katanya, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penyerahan kad XPAX@KKLW kepada masyarakat luar bandar, dekat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pakej prabayar XPAX@KKLW itu menawarkan 10GB internet burung hantu secara percuma setiap bulan pada jam 1 pagi hingga 7 pagi, selain 500 megabit ‘social chat’ percuma dengan asas internet dan RM20 sebulan untuk panggilan tanpa had selama 30 hari kepada semua nombor Celcom.

Yang turut hadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin; Pengarah Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Bhd, Saiful Bahrin Abdul Ghafar dan Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Perniagaan Celcom Axiata Bhd, Azmi Daud.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");