Sukan Hari Ini

Sengat Supuksorn

Johor Bahru: Bergelar juara kebangsaan di negara asalnya Thailand, Supuksorn Nuntana, 26, wakil Team Thailand All Star meneruskan penguasaan dengan merangkul gelaran juara keseluruhan pada Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, kelmarin.

Supuksorn diumum sebagai juara keseluruhan bagi kategori terbuka wanita dengan mengumpul 30 mata, yang turut menyaksikan rakan sepasukanya Sarocha Kamonlakhon di tempat kedua dengan 26 mata.

Kejayaan mengungguli kategori wanita dan terbuka wanita keseluruhan membolehkan Supuksorn membawa pulang piala dan pingat serta wang tunai sebanyak RM2,500.

Walaupun baru kali pertama menjejak kaki di Johor, Supuksorn bangga kerana berjaya menawan bukit dengan ketinggian 165 meter dan trek sejauh 35 kilometer dalam sirkit terakhir itu dengan mudah apabila mencatat masa 1 jam 48 minit 54 saat serta mengalahkan Sarocha yang mencatat 1’59:50.

“Saya sudah biasa menjadi juara di tanah air, tapi tak sangka saya mampu mengekalkan gelaran itu apabila bertanding di negara jiran. Saya amat berbangga dengan enam ahli pasukan kami yang lain kerana berjaya naik podium dan di tangga teratas mendahului pasukan yang lain, tidak sia-sia datang dari jauh.

“Sebagai juara bukan senang, saya mempunyai jadual latihan yang ketat, sentiasa melakukan latihan berkayuh setiap hari, beratus-ratus kilometer bagi mengekalkan ketahanan badan dan kemahiran teknikal. Selain itu saya menjaga pemakanan, rehat dan tidur yang cukup,” katanya.

Katanya, dia mengakui trek sejauh 35km itu agak mencabar daripada trek sebelum ini di Kulim, Kedah dan Port Dickson, Negeri Sembilan serta menguji kekuatan fizikal dan kemahiran teknikal pelumba.

“Berbanding trek di dua lokasi sebelum ini, laluan di UTM ini amat mencabar kemahiran teknikal pelumba, nasib baik saya sudah melengkapkan diri 100 peratus dengan pelbagai kemahiran teknikal sebagai persediaan menempuh trek berbukit dan berlumpur seperti trek di UTM ini,” katanya.

Manakala di tempat ketiga disandang oleh Norfadilah Saiedin dari pasukan Cyclomotion dengan mata keseluruhan 20 mata selepas menamatkan saingan di sirkit terakhir kejohanan dengan masa 2’03:24.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");