Membawang Hari Ini

Serasi hos lebih senior

Bakatnya mula digilap dalam bidang pengacaraan menerusi program Hijabista yang bersiaran di saluran Astro Ria, tiga tahun lalu. Bermula dari situ, pengacara berbakat besar Dayah Bakar enggan menoleh ke belakang lagi.

Selain mengacara majlis korporat dan tampil sebagai moderator anjuran universiti dan kolej tempatan, Dayah juga pernah mengendalikan program 3R terbitan Red Communications bergandingan dengan dua lagi hos iaitu Amirah Azmi dan Yvonne Lee.

Tidak ketinggalan, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini juga pernah berkhidmat sebagai penyampai radio IM4U FM, tahun lalu.

Terbaru, Dayah diberi kepercayaan mengacarakan program Jom Singgah yang memfokuskan strategi penjualan produk tempatan dan antarabangsa terbitan TV3.

Pemilik nama sebenar Nur Hidayah Abu Bakar, 27, ini mengakui bersyukur kerana diberi peluang mengendalikan program berkenaan.

“Sepatutnya, saya memulakan tugas sebagai pengacara awal tahun depan, tetapi pihak penerbitan memberi peluang kepada saya mengendalikan program ini sejak September lalu.

“Saya juga tidak ada masalah mencari keserasian dengan hos lebih senior seperti Ifa Raziah dan Tun Nadia. Mereka banyak membimbing saya ketika mengendalikan program ini,” katanya.

Selain Dayah, program ini turut menampilkan seorang lagi pengacara baru iaitu Akhmal Nazri. Dayah ditemui pada majlis memperkenalkan barisan hos Jom Singgah yang berlangsung di Hotel One World, Bandar Utama, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Pelanggan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof.

Walaupun berpengalaman dalam bidang pengacaraan, Dayah mengakui program Jom Singgah ada cabaran tersendiri.

“Selain bersiaran secara langsung, saya juga perlu menemu bual pengusaha produk yang berbeza setiap hari. Pada masa sama, saya perlu membuat kajian mengenai produk yang diketengahkan dalam program ini.

“Apapun, saya berharap kehadiran saya akan diterima peminat setia Jom Singgah, sekali gus memantapkan lagi program ini,” katanya.

Jom Singgah bersiaran secara langsung dari Studio B di Sri Pentas, setiap Isnin hingga Khamis jam 1 tengah hari di TV3.

Pertaruh single duet dengan Nomad

Bukan saja dikenali sebagai pengacara dan penyampai radio, Dayah juga berbakat dalam bidang nyanyian. Kata Dayah, dia meminati cabang seni itu sejak kecil.

“Namun saya terpaksa akur apabila rezeki muncul sebagai pengacara datang dulu. Kini, sudah sampai masanya untuk saya mengejar impian menjadi penyanyi.

“Walaupun terbabit dalam bidang pengacaraan, saya juga serius mahu berkecimpung dalam bidang muzik,” katanya.

Justeru, kata Dayah, tawaran merakamkan single duet dengan penyanyi Nomad bagaikan peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

“Saya akan berduet dengan Nomad menerusi single Lebih Dari Terindah yang dicipta Kunci Demak.

“Saya berduet dengan Nomad kerana kami bernaung di bawah pengurusan sama iaitu Hikayat Records. Kunci Demak dapat ilham menghasilkan lagu ini selepas melihat lukisan pelukis tersohor negara, Yusof Ghani.

“Saya berharap single ini diterima peminat, sekali gus menjadi permulaan yang baik untuk menempa nama dalam bidang nyanyian,” katanya.

Selain menyanyi, Dayah juga berbakat sebagai pencipta lagu yang juga antara cabang muzik yang diminatinya.

“Selepas single duet Lebih Dari Terindah, saya akan muncul dengan lagu solo ciptaan sendiri pula.

“Walaupun tidak belajar secara formal dalam bidang muzik, saya banyak menimba ilmu daripada orang sekeliling untuk mencipta lagu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");