Membawang Hari Ini

SHM tiada masalah

Selepas kejayaan drama Dia Semanis Honey (DSH) mendapat sambutan penonton, impian untuk membawanya ke pentas pula akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Berita mengenai perancangan untuk membawa kisah dijayakan Siti Nordiana dan Alif Satar ini ke pentas teater dikongsi pengarahnya, Michael Ang pada September lalu dan bakal dipentaskan bulan ini.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah, pementasan Semanis Honey Musical (SHM) disahkan hanya akan bermula pada 3 hingga 9 Januari di Istana Budaya.

Khabarnya penundaan tarikh pementasan SHM dibuat ekoran timbul beberapa masalah terutama dari sudut pertukaran pelakon.

Ada pelakon asal digugurkan namanya dan diganti dengan pelakon lain terutama watak utama, Adam Hazrul dijayakan Hairul Azren.

Penyanyi utama kumpulan Kristal, Lan yang dikhabarkan akan menjayakan pementasan SHM dikatakan menarik diri pada saat akhir.

Mungkinkah disebabkan beberapa perkara yang timbul ini menyebabkan perancangan SHM terganggu dan bagi menyelesaikan beberapa perkara membuatkan Michael memerlukan masa untuk menyelesaikannya supaya pementasan muzikal dirancang berjalan lancar.

Ditemui baru-baru ini, Michael menafikan pihaknya berhadapan masalah sepanjang perancangan pementasan SHM dibuat.

Katanya, buat masa ini semua pelakon terbabit sudah mula menjalani latihan secara intensif secara berperingkat.

“Sebenarnya tarikh pementasan pada Disember itu adalah perancangan awal tetapi apabila pihak saya rujuk pada pengurusan Istana Budaya, pada bulan ini jadual pementasan sudah penuh.

“Sepanjang Disember ada konsert High Note kemudian masuk pula High 5 hingga akhir tahun. Jadi pada awal 2017 baru ada ruang kosong untuk pementasan SHM masuk,” katanya.

Pertukaran pelakon juga, kata Michael, bukan satu masalah dan ketiadaan Hairul Azren adalah atas persetujuan kedua-dua pihak.

“Watak dilakonkan Hairul akan digantikan Engku Ismail. Hairul tidak dapat berlakon dalam SHM kerana terikat dengan jadual kerja lain pada Januari nanti.

“Watak adik Ahnaf yang dimainkan Ziha kita matikan kerana tidak mahu pementasan terlalu panjang. Begitu juga dengan watak mengimbas kenangan percintaan Hani bersama bekas kekasihnya yang sepatutnya dijayakan Lan, tidak akan dipentaskan,” katanya.

Kata Michael, dia terharu apabila DSH mencatat kejayaan sebagai antara drama bersiri paling diminati di Astro Ria dan setiap tayangannya menjadi ‘trending’ di Twitter ketika disiarkan tahun lalu.

“Untuk pementasan SHM sepanjang dua jam setengah, saya mengangkat novel Dia Semanis Honey dan bukan daripada drama bersiri.

“Ia akan berkisar kepada kisah cinta Ahnaf dan Hani dilakonkan Alif Satar dan Siti Nordiana dan watak antagonis Bella dilakonkan Nadya Syahera.

“Kalau ikut drama bersiri, banyak babak ditokok tambah tetapi untuk SHM ini penceritaannya secara terus yang mengangkat pengisian novel,” katanya.

Michael juga gembira dengan perkembangan SHM kerana jualan tiket untuk persembahan tiga malam awal habis dijual walaupun sesi latihan baru bermula.

Untuk pementasan ini, Michael akui bukan dia atau Hadith sebagai pengarah sebagaimana drama bersiri kerana mereka berdua tidak punya banyak pengalaman dalam bidang pengarahan dan pementasan teater.

“Memikirkan dari sudut itu, kami berasakan ada baiknya tugas mengarah untuk pementasan muzikal ini diserahkan kepada mereka yang berpengalaman.

“Untuk itu, saya melantik Syed dan Dira yang pernah mengarah dan berlakon teater untuk mengendali dan menangani SHM.

“Saya dan Hadith bertindak sebagai penasihat dan dalam waktu itu cuba belajar daripada mereka bagaimana hendak mengarahkan pementasan teater terutama muzikal.

“Mungkin pada masa akan datang dengan pengalaman dan tunjuk ajar diberikan Syed dan Dira, saya dan Hadith akan mampu mengarah,” katanya.

Kata Michael, apa yang penting dia dan Hadith punya usaha dan visi untuk memastikan apa yang dirancang ini berjaya.

“Paling penting semua tenaga kerja terbabit cuba memastikan cita rasa dalam drama dan novel Dia Semanis Honey tidak hilang apabila dipentaskan nanti,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");