Isu Panas

Sokongan kaum India terhadap MIC kembali pulih

AYER KEROH: Sokongan masyarakat India terhadap MIC kembali pulih apabila majoriti daripada mereka menyatakan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata keadaan itu dibuktikan menerusi penyertaan kaum terbabit dalam setiap aktiviti dianjurkan parti berkenaan di seluruh negara, selain bersama kepemimpinan MIC di peringkat bahagian serta negeri melaksanakan program kemasyarakatan.

Bagaimanapun, katanya, MIC masih berusaha menambah jumlah sokongan masyarakat India kepada BN, sekali gus memberi kemenangan kepada calon parti itu yang akan bertanding pada PRU ke-14 kelak.

“Selepas berjaya menyatupadukan ahli parti di semua peringkat, terutama selepas pemilihan kepemimpinan MIC tahun lalu, kita dapat melihat sokongan kaum India kepada MIC sudah kembali pulih.

“Mereka memberikan sokongan yang sangat baik kepada kita dan usaha berterusan akan dijalankan bagi mengekalkan momentum ini.

“Harapan kita sekurang-kurangnya 70 peratus masyarakat India menyokong kita, seterusnya memberi kemenangan kepada calon BN pada PRU ke-14,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Deepavali peringkat negeri, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam tadi.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia Dan NGO negeri merangkap pengerusi program, Datuk MS Mahadevan.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata MIC sudah menubuhkan jentera pilihan raya di semua kawasan ditandingi wakil parti berkenaan di seluruh negara dan akan bekerjasama dengan parti komponen BN bagi memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Pada PRU ke-13, MIC memenangi empat daripada sembilan kerusi Parlimen iaitu itu Cameron Highland diwakili Datuk Seri G Palanivel, Segamat (Dr Subramaniam), Tapah (Datuk M Saravanan) dan Hulu Selangor (Datuk P Kamalanathan).

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");