Berita Hari Ini

Subjek Sains, Matematik meningkat mengikut TIMSS

PUTRAJAYA – Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan dalam laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2015 berbanding 2011, sekali gus meletakkan negara dalam kelompok pertengahan antara 39 negara peserta.

Berdasarkan laporan itu, Malaysia memperbaiki kedudukan bagi subjek Sains pada tempat ke-24 dengan mencatat 471 mata pada 2015, berbanding tempat ke-32 (426 mata) pada TIMSS 2011.

Bagi subjek Matematik pula, Malaysia menduduki tempat ke-22 dengan 465 mata, meningkat empat tangga berbanding TIMSS 2011 dengan kedudukan ke-26 (440 mata).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, 16 negara peserta mencatat peningkatan skor dalam subjek Sains pada TIMSS 2015 berbanding sebelumnya dengan Malaysia merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 44 mata.

Menurutnya, Malaysia juga antara 18 negara yang menunjukkan peningkatan pencapaian dalam subjek Matematik berbanding TIMSS 2011 iaitu sebanyak 25 mata.

“Pencapaian bagi kedua-dua subjek Matematik dan Sains ini meletakkan Malaysia pada kedudukan pertengahan dalam senarai negara peserta berbanding TIMSS 2011, apabila Malaysia hanya berada pada kedudukan sepertiga di bawah dalam pencapaian Sains.

“Bagi menghadapi TIMSS 2019, Malaysia menyasar mencatatkan 500 mata bagi kedua-dua subjek itu, sekali gus memperbaiki kedudukan negara dalam TIMSS pada masa hadapan,” katanya pada sidang media ketika pengumuman TIMSS 2015 peringkat kebangsaan di sini, kelmarin.

Malaysia menyertai kajian perbandingan antarabangsa, anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) itu bermula pada 1999, membabitkan penilaian bagi Gred 8 yang ditadbirkan dalam kitaran setiap empat tahun.

Sampel TIMSS 2015 bagi peringkat Malaysia terdiri daripada 9,726 pelajar tingkatan dua, 326 guru Matematik, 326 guru Sains dan pentadbir daripada 207 sekolah sampel di seluruh negara.

Laporan TIMSS 2015, turut menyaksikan beberapa negara Asia terus berada di tangga teratas dengan Singapura mengungguli carta laporan TIMSS 2015 bagi kedua-dua subjek.

TIMSS ialah penanda aras antarabangsa, anjuran Kesatuan Penilaian Pencapaian Pendidikan Antarabangsa (IEA) bagi Gred 8 yang dibuat empat tahun sekali.

Dr Khair berkata, antara faktor menyumbang kepada peningkatan pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2015 adalah kesediaan guru, pengetua, persekitaran sekolah dan sosioekonomi pelajar.

“Hampir semua guru mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, membabitkan 92 peratus guru Matematik berkelulusan sarjana muda dan tiga peratus sarjana.

“Sebanyak 90 peratus guru Sains pula lulusan sarjana muda, manakala lulusan sarjana, empat peratus.

“Ramai guru juga terbabit dalam latihan pembangunan profesional berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pentaksiran,” katanya.

Dr Khair berkata, pelajar yang mempunyai lebih banyak sumber pembelajaran di rumah juga menunjukkan pencapaian lebih tinggi.

“Sebanyak empat peratus pelajar mempunyai sumber yang banyak, manakala 72 peratus sumber sederhana dan 24 peratus sumber sedikit.

“Selain itu, sekolah mempunyai persekitaran positif dan penekanan pengetua terhadap kejayaan akademik juga penyambung peningkatan TIMSS 2015,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpuas hati prestasi kali ini dan berharap pencapaian itu akan terus meningkat pada TIMSS 2019.

“Kami harap keputusan ini akan menjadi penanda aras dan batu loncatan untuk mencapai sasaran skor 500 mata TIMSS 2019 dan sepertiga teratas dalam senarai negara peserta menjelang 2025,” katanya.

Rangka enam inisiatif tingkat skor TMSS 2019

Setakat ini, Kementerian Pendidikan telah merangka enam inisiatif baharu sebagai persediaan negara bagi meningkatkan skor dalam kajian TIMSS 2019.

Dr Khair memberitahu, inisiatif pertama dilaksanakan, antaranya siri jelajah pencapaian TIMSS 2015 menerusi wacana bagi penambahbaikan PdP Matematik dan Sains.

Beliau memaklumkan, ia termasuk penerbitan buku analisis item TIMSS Matematik dan Sains untuk guru, selain penerbitan Laporan Kebangsaan TIMSS 2015.

Inisiatif lain merupakan pelaksanaan Etimss iaitu penggunaan pentaksiran secara interaktif yang menggunakan komputer bagi TIMSS 2019.

“Pada masa sama, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam kajian rintis Etimss pada 2017.

“Malah kajian rintis dan utama TIMSS 2019 akan ditadbir dalam 2018,” katanya.

Beliau memberitahu, inisiatif ketiga yang turut dilaksanakan ialah Latihan Profesionalisme Guru yang memberi tumpuan terhadap kompetensi dalam penyampaian, penintegrasian bahan sumber dalam PdP.

“Selain itu mulai tahun depan, Kemahiran Pedagogi abad ke-21, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (semakan) bagi murid tahun satu dan kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk tingkatan satu juga akan dilaksanakan.

“Kemahiran pada abad ke-21 turut diberi penekanan dan ia termasuk komunikasi, kerjasama kreativiti dan berfikir secara kritis,” katanya.

Bagi pelaksanaan inisiatif pentaksiran, Dr Khair berkata, peperiksaan amali berpusat diadakan semula dan ia merangkumi kajian rintis amali Sains di bawah inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) sedang dijalankan.

Selain itu, katanya, penambahbaikan prasarana makmal kini giat dijalankan.

Tambahnya, selain itu format baharu peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini, direka bentuk mencakupi aspek kemahiran asas hingga kemahiran berfikiran aras tinggi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");