Berita Hari Ini

Sukarelawan MyCorps disaran jadi duta

KUALA LUMPUR: Sukarelawan MyCorps disaran untuk meneruskan peranan sebagai duta dan aktivis program kepimpinan sukarelawan itu walaupun selepas tamat misi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi membantu menerangkan kepada masyarakat khususnya belia, tentang MyCorps dan peranannya di arena antarabangsa.

“Belia perlu tahu bahawa MyCorps adalah platform terbaik untuk membantu melakukan perubahan ke atas komuniti antarabangsa yang kurang membangun.

“Saya yakin dengan adanya semua kemudahan di negara masing-masing, ia akan meletakkan aktiviti sukarelawan Malaysia dalam peta dunia,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Graduasi program MyCorps misi kedua di sini, malam ini.

Program MyCorps Siri 2/2016 melibatkan 49 sukarelawan belia, 19 lelaki dan 30 wanita, yang telah menjalankan projek penempatan antarabangsa MyCorps di Kemboja bermula 1 Oktober hingga 11 Disember lalu.

Projek yang dijalankan di Kemboja antaranya ialah membina bangunan pra-sekolah, perabot kelas, taman permainan dan tandas serta membaik pulih kemudahan di empat sekolah rendah.

Khairy turut memaklumkan bahawa misi ketiga telah pun bermula pada 3 Disember lalu dengan penghantaran 44 orang sukarelawan belia menjalankan projek penempatan antarabangsa MyCorps di kem pelarian Syria di Jordan, Turki dan Lubnan.

“Kita juga bercadang untuk meneruskan program sukarelawan ini tahun depan dengan menyasarkan tiga atau empat misi antarabangsa termasuk ke Kemboja sekali lagi,” katanya.

MyCorps adalah program Kepimpinan Kesukarelawanan Belia Antarabangsa di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda bertujuan untuk membentuk kendiri dan jatidiri melalui aktiviti kesukarelawanan.

Pelaksanaan program MyCorps dilakukan melalui kerjasama antara KBS dan Extraordinary People Impacting Community (EPIC) dan Pusat Belia Antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan program sukarelawan bertaraf antarabangsa. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");